Mahkamah tangguh sebutan kes dua lelaki bunuh penganggur

0

MIRI: Mahkamah Majistret semalam menangguhkan sehingga 13 Januari depan untuk sebutan lanjut kes dua lelaki dituduh menetak seorang penganggur hingga mati.

Kedua-dua tertuduh diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.

Penangguhan itu dibuat setelah membenar permohonan Pegawai Pendakwa Inspektor Norliza Abdullah agar kes ini ditangguhkan ke satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut memandangkan laporan kimia dan laporan bedah siasat mangsa masih belum siap.

Mohammad Shah Nizam Jak’ba, 30, dari Kuarters Perikanan Miri dan Abdul Dino Sebri, 30, dari Kampung Medong, Dalat telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut kesalahan ini, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh telah melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Lee Hua Dung, 37 tahun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama pada jam 5 petang, 22 Julai lalu di hadapan sebuah kedai runcit di Jalan Permaisuri di sini.

Dalam kejadian itu, mangsa Lee Hua Dung, 37, telah didatangi empat lelaki, dua daripadanya bersenjatakan parang panjang dan sebatang besi, manakala dua lagi hanya duduk di atas motosikal.

Dua lelaki terbabit menyerang sambil mengejarnya di sekeliling bangunan sebuah hotel bajet di Jalan Tritonia, tempat mangsa menginap sebelum mangsa rebah dan tidak sedarkan diri di hadapan sebuah kedai runcit  terletak berhampiran.

Mangsa cedera parah di dahi dan paha kanan telah dikejarkan oleh orang awam ke Hospital Miri bagi mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia sekitar jam 8 malam hari sama.