Miri bina sebuah pulau menghadap Taman Selera

0

BINA PULAU: ’Seahorse Island’ yang akan dibina menghadap Taman Selera, sekali gus menjadi pulau yang bakal menyediakan tarikan baharu kepada penduduk dan pelawat di Miri.

MIRI: Sedikit masa lagi, penduduk di Miri bakal menyaksikan sebuah pulau muncul di hadapan Taman Selera iaitu taman rekreasi tertua di sini yang sedang dalam proses pembangunan semula.

‘Seahorse Island’ atau Pulau Kuda Laut akan dibina dan diwujud menghadap Taman Selera sedia ada pada jarak 800 meter nautika dari pantai taman itu.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Episo, Datuk David Goh Kien Ping, pulau itu menjadi kemuncak projek pelan induk pembangunan Taman Selera itu, yang dimajukan anak syarikat mereka, Raffles Lifestyle Development Sdn Bhd.

“Kemuncak projek dalam pembangunan pelan induk ialah membina pulau berhadapan atau menghadap Taman Selera yang menyerupai kuda laut (jika dilihat dari atas).

“Di pulau ini kelak, kami akan menempatkan resort, tempat rekreasi, sukan air dan sebagainya,” jelas beliau.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu mendedahkan lebih mendalam mengenai projek itu tetapi yakin ia satu tarikan baharu.

Goh memberitahu apabila pulau ini siap dibangun sepenuhnya, kawasan perairan terletak antara pulau dengan Taman Selera itu adalah lokasi cukup selamat untuk mandi-manda.

Bercakap kepada pemberita semasa sidang media di pejabatnya di sini semalam, beliau memberitahu sehingga kini, pelan induk pembangunan semula Taman Selera sedang berjalan lancar mengikut perancangan awal, tanpa mendedahkan bila projek akan siap sepenuhnya.

Ini kerana katanya, setiap pembangunan dilaksana memerlu perancangan teliti dan bagi mencapai kepuasan terbaik, pihaknya akan menyiapkan setiap fasa secara berperingkat-peringkat.

Mengenai keselamatan kawasan perairan Taman Selera, Goh memberitahu, pihaknya tidak menggalak orang ramai mandi-manda di situ buat sementara tambahan syarikat melakukan kerja meroboh dan memusnahkan jeti lama.

“Kedua-dua jeti tidak selamat dan sesuai untuk konsep baharu ini. Kami akan mengubah dan menjadikan kawasan tersebut lokasi selamat untuk sukan air, mandi-manda dan sebagainya.

“Ketika ini saya tidak mahu memberi jaminan mengenai tahap keselamatan di kawasan perairan dan tidak menggalak sama sekali orang ramai bermandi-manda di situ,” katanya memberi peringatan.

Bagaimanapun katanya, orang ramai boleh bersiar-siar di pantai berkenaan, memandangkan beberapa kemudahan di taman rekreasi btermasuk taman permainan kanak-kanak sudah siap.

Malah beberapa premis makanan seperti KFC dan Pizza Hut serta gerai ais krim sudah mulai beroperasi di situ.

Manakala bagi 16 buah gerai lain yang menyediakan makanan laut dan makanan halal bakal menyusul.

Bercakap mengenai kemudahan taman permainan disediakan di situ, Goh memberitahu, beliau memohon kerjasama orang awam supaya tidak merosak atau melakukan vandalisme ke atas kemudahan taman permainan dan Taman Selera.

“Ia adalah kemudahan awam. Apa jua kemudahan ada di situ, bukan lagi milik pemaju tetapi milik anda juga. Jika anda memusnahkannya bermakna anda memusnahkan kemudahan diri sendiri,” tambah beliau lagi.