MPP komited terhadap usaha mencegah jenayah

0

KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) komited bekerjasama serta mendidik pihak berkaitan termasuk orang awam dalam usaha mencegah jenayah di kawasan tadbirannya.

Pengerusinya Lo Khere Chiang berkata, hanya melalui kesedaran, didikan dan kerjasama dengan awam mampu mengurangkan indeks jenayah dengan lebih berkesan.

“Kita menyedari jenayah bukan satu perkara yang boleh dikawal tetapi kita mungkin mampu menyelesaikan perkara ini dengan berkesan melalui didikan kepada awam.

“Kita tidak boleh bergantung atau menyerahkan perkara sebegini kepada pihak polis sahaja atau agensi lain tetapi ia tanggungjawab semua anggota masyarakat agar persekitaran lebih selamat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen dan Pameran Pencegahan Jenayah anjuran MPP yang dihadiri Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Yap Fui Lee dan pengerusi pengelola program Munded Banat di sini, kelmarin.

Lo berkata, menurut statistik indeks jenayah bagi Padawan dari November 2014, 1,038 kes jenayah dicatat.

“Jika dibandingkan tempoh yang sama pada tahun lepas (Januari hingga November 2013) terdapat 1,170 kes. Ini menunjukkan penurunan 132 kes atau 11.28 peratus,” katanya.

Tambah Lo, kesemua kes jenayah yang dilaporkan di kawasan Padawan menunjukkan penurunan kecuali jenayah kecurian kenderaan, lori/van yang sedikit meningkat.

Kes kecurian kenderaan menunjukkan peningkatan sebanyak 13 kes pada tahun ini bagi tempoh Januari hingga November berbanding tempoh sama pada 2013, iaitu tujuh kes.

Sehubungan itu kata Lo, bagi menangani insiden jenayah terus berleluasa, orang awam juga perlu membuat laporan polis sekiranya mereka menjadi mangsa jenayah kerana ia akan menjadi penanda aras kepada prestasi untuk menyelesaikan kes.

Malahan ia menjadi penanda aras kepada statistik bagaimana kerajaan mentadbir negeri serta statistik kepada bagaimana pihak polis menyampaikan perkhidmatan mereka.

Sementara itu Munded dalam ucapannya berkata, beliau berharap program berkenaan akan diteruskan pada tahun depan, kerana ia amat penting dalam usaha meningkatkan kesedaran di kalangan awam tentang jenayah.

“Masalah jenayah sememangnya masalah sosial yang berlaku di mana-mana tempat termasuk di kawasan Padawan.

“Maka itu adalah amat penting untuk kita menganjurkan program pencegahan jenayah seperti ini secara berterusan bagi mengurangkan indeks jenayah,” katanya.