Perkhidmatan bas awam akan ditingkat

0

Oleh Nick Fletcher //

Inisiatif subsidi khidmat bas awam diperkenal, syarikat dibayar bagi setiap kilometer

UTAMAKAN KESELAMATAN: Manyin memakaikan topi keledar kepada seorang penunggang motosikal sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya bagi perayaan Hari Krismas, semalam.

KUCHING: Mutu pengangkutan awam di bandar raya ini dijangka dipertingkatkan pada tahun depan menerusi inisiatif subsidi ke atas perkhidmatan bas awam.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin berkata syarikat terlibat di bawah skim tersebut kini sedang dalam usaha membeli bas baharu selain dalam rundingan bagi kuantum subsidi untuk setiap kilometer.

“Apabila syarikat bas memohon di bawah peraturan ini, mereka akan dibayar subsidi bagi setiap kilometer.

“Diharap ini akan bermula pada pertengahan atau penghujung tahun depan kerana syarikat bas terbabit perlu membeli bas baharu untuk layak bagi skim tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena perayaan Hari Krismas di Serian dekat sini, semalam.

Dalam pada itu, syarikat-syarikat terbabit juga telah menubuhkan konsortium serta mengenal pasti laluan sejauh 500 kilometer di sekitar bandar raya ini.

“Mereka (syarikat bas) sepatutnya menandatangani perjanjian bulan lalu tetapi telah ditangguhkan kerana mereka masih berunding mengenai kuantum bagi setiap kilometer.

“Syarikat-syarikat terbabit merupakan syarikat yang sedia ada di Kuching dan mereka telah pun mengenal pasti laluan sejauh 500 kilometer untuk dilalui setiap hari.

“Pengenalan skim ini adalah bagi menarik orang ramai agar cenderung menggunakan perkhidmatan awam kerana tempoh masa bagi kekerapan bas di setiap stesen akan ditetapkan iaitu dalam 30 minit,” katanya.

Dalam pada itu, Manyin berkata kementeriannya dengan kerjasama JKJR akan terus menjalankan kempen keselamatan jalan raya pada masa akan datang bagi meningkatkan lagi kesedaran umum agar sentiasa berhemah ketika memandu.

“Kami telah mengadakan sekurang-kurangnya empat kempen jalan raya setiap tahun sejak 10 tahun lalu tetapi malangnya dalam sepanjang tempoh tersebut, ia seakan-akan tidak memberi kesan menggalakkan.

“Bilangan kemalangan jalan raya tidak dapat dikurangkan dengan baik dan statistik menunjukkan di Malaysia, seramai 19 orang mati setiap hari disebabkan oleh kemalangan jalan raya.

“Namun, kami akan terus menjalankan kempen dengan harapan agar orang ramai sedar dan berhemah ketika memandu dan kempen ini akan kami jalankan sekurang-kurangnya empat kali setahun iaitu pada setiap musim perayaan Hari Raya, Gawai, Krismas dan Tahun Baharu Cina,” katanya.

Sementara di Sarawak, beliau berkata bagi tempoh Januari sehingga November tahun ini, bilangan kematian akibat kemalangan yang direkodkan adalah seramai 362 orang dengan Sibu mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 49 orang diikuti Miri, Bintulu dan Kuching.

Bagaimanapun, katanya, bilangan tersebut adalah menurun berbanding yang direkodkan tahun lepas iaitu seramai 421 orang.