Guna kemudahan teknologi dengan sebaiknya

0

SIMBOLIK: Adenan melakukan simbolik pelancaran Anugerah Ketua Menteri bagi Amalan Terbaik anjuran SFC. Turut kelihatan (dari kiri) Len dan Awang Tengah serta tetamu jemputan lain.

SFC miliki teknologi terbaik untuk perkhidmatan penguatkuasaan lebih berkesan: Adenan

Oleh Jessica Jawing //

KUCHING: Pegawai penguat kuasa termasuk Sarawak Forestry Corporation (SFC) sewajarnya menggunakan kemudahan teknologi yang mereka ada dengan sebaiknya.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata SFC memiliki kemudahan teknologi terbaik untuk menyampaikan perkhidmatan penguatkuasaan lebih berkesan.

Menurut beliau, jika ia digunakan dengan lebih baik ia mampu menjadi salah satu cara berkesan untuk membanteras aktiviti haram termasuk balak di Sarawak.

“Kita mempunyai teknologi yang baik namun tidak pernah menggunakannya dengan sebetulnya.

“Malahan kemudahan itu mungkin langsung tidak disentuh… ada kemudahan tetapi tidak digunakan,” katanya sambil memberitahu sedangkan kemudahan itu mampu menjadi alat untuk mengekang aktiviti haram dengan berkesan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan SFC Sdn Bhd yang turut dihadiri Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh dan Pengerusi SFC Datu Dr Yusoff Hanifah di sini, malam kelmarin.

Tambah Adenan, beliau percaya kebanyakan daripada penguat kuasa agensi berkaitan termasuk SFC terdiri daripada individu terbaik, telus dan berintegriti.

Namun beliau tidak menafikan sekumpulan daripada golongan itu mungkin tidak bersikap demikian dan cenderung kepada perkara lain.

“Sebagai contoh, jika ada serbuan dilakukan di kawasan disyaki mesti semua lari dan tidak ada lagi individu berada di sana.

“Kita sudah pasti menjangkakan bahawa terdapat seseorang yang memberitahu dan mereka pastinya orang dalam,” tegas beliau.

Katanya jika ia didapati berlaku, beliau sendiri tidak teragak-agak untuk membawa individu berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Adenan berkata ini kerana adalah sudah menjadi tanggungjawab penguat kuasa menjaga hutan bagi mengelak ia daripada terus terjejas akibat kegiatan haram.

Beliau menjelaskan bahawa Sarawak terkenal dengan hutan hujan tropika yang perlu dijaga dengan baik kerana ia adalah khazanah negeri.

“Ia bukan sahaja dari segi pelancongan tetapi juga kita mahu mengekalkan khazanah yang kita ada ini.

“Maka itu kita akan menambahkan lagi jumlah taman negara di negeri ini bagi tujuan pemeliharaan legasi kita ini,” kata beliau.