Kejohanan Futsal Starsport ditunda lagi, SFA mohon maaf

0

SIBU: Persatuan Bola Sepak Bahagian Sibu (SFA) memohon maaf kepada semua pasukan kerana terpaksa menangguhkan sekali lagi Kejohanan Futsal Starsport Terbuka Sibu 2014 yang dijadual berlangsung 20 dan 21 Disember ini.

Kejohanan dibahagikan kepada kategori lelaki dan wanita sebelum ini dijadual berlangsung pada 13 dan 14 Disember akan ditunda ke suatu tarikh baharu iaitu pada penghujung bulan Januari tahun depan.

“Kita ingin memohon maaf kepada semua pasukan yang telah mengesahkan penyertaan atas penangguhan semula kejohanan ini. Tarikh sebenar kejohanan akan diumumkan nanti,” ujar Setiausaha SFA, Abdul Hajis Abdullah kepada Utusan Borneo, semalam.

Menurut Abdul Hajis, kejohanan itu ditangguhkan selepas satu mesyuarat serta perbincangan dengan Penguasa Pejabat Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) Bahagian Sibu, Selasa lepas.

Dalam perbincangan empat mata itu, katanya, kejohanan akan berlangsung di Dewan Serbaguna KPSU Jalan Bukit Lima, yang kini dalam kerja-kerja terakhir pengubahsuaian.

“Oleh itu, kita menunda kejohanan ini kerana kita mahu pasukan serta pemain bermain di dewan yang mempunyai kemudahan sesuai dan selesa,” katanya sambil menambah majlis perasmian semula dewan itu juga dijadual berlangsung serentak.

Berikutan penangguhan itu, SFA telah memaklumkan kepada semua pasukan yang telah mengesahkan penyertaan, termasuk mengembalikan semula yuran penyertaan sebelum ini.

Abdul Hajis berkata, SFA akan mengeluarkan borang baharu bagi menyertai kejohanan yang boleh diperolehi di LEA Sports Centre, Wisma Sanyan.

“Yuran kejohanan juga telah dikurangkan kepada RM200 bagi lelaki berbanding RM250 sebelum ini. Sementara bagi kategori wanita, yuran hanya RM100 berbanding RM150,” jelasnya sambil menambah penyertaan terhad kepada 32 pasukan sahaja.