Ketua kaum perlu dapat maklumat tepat tangani khabar angin, kata Lee

0

MIRI: Ketua-ketua kaum di negeri ini perlu bersikap lebih matang dan profesional dengan mendapatkan maklumat daripada sumber-sumber yang tepat daripada pihak berkaitan atau saluran yang betul, bagi membantu mereka menangani khabar angin yang disebarkan di kampung mahupun kawasan masing-masing.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berkata, ketika ini khabar angin tersebar dengan begitu mudah di media sosial tanpa mempedulikan kebenaran sesebuah fakta atau khabar tersebut.

Lebih teruk katanya, apabila khabar angin yang disebarkan itu berkaitan perkauman, keagamaan, politik dan sebagainya yang bertujuan memecah-belahkan rakyat.

“Kalau rakyat percaya dengan khabar angin ini secara membuta-tuli, maka akan banyak masalah timbul.

“Justeru di sini, ketua-ketua kaum yang terdiri daripada ketua kampung dan tuai rumah panjang serta kapitan dan ketua masyarakat perlu memainkan peranan penting, menyakin dan memastikan anak-anak buah mereka tidak terhasut dengan khabar-khabar angin ini.

“Semak terlebih dahulu dari mana khabar angin ini datang dan siapa yang menyebarkannya sebelum mengambil tindakan sewajarnya dan memberitahu anak buah masing-masing supaya mendapatkan fakta yang tepat sebelum mempercayainya,” tambah beliau lagi.

Lee memberitahu demikian semasa berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Ketua Kaum di Miri di bilik mesyuarat Pejabat Residen Miri di sini, semalam.

“Jangan sampai khabar-khabar angin ini menjejaskan perpaduan, persefahaman dan semangat muhibah antara kaum di negeri ini,” ujar Lee.

Menurutnya, semua ketua kaum perlu memainkan peranan untuk menjaga dan memelihara perpaduan yang wujud bukan sahaja di kawasan jagaan mereka, tetapi juga di bahagian ini dan negeri ini amnya.

Oleh yang demikian, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sendiri telah menegaskan bahawa beliau tidak akan membenarkan sama sekali puak pelampau, seperti pelampau agama, perkauman, politik dan sebagainya daripada memasuki negeri ini.

“Ini yang perlu kita pertahankan, mempertahankan Sarawak dan rakyatnya daripada anasir-anasir yang cuba menghuru-harakan dan memecah-belahkan penduduk di negeri ini, agar Sarawak kekal menjadi contoh dalam perpaduan kaum di negara ini,” tambah Lee.

Sementara itu, seramai 19 ketua kaum di sini menerima sijil pelantikan untuk tempoh dua tahun lagi dengan kesemuanya adalah pelantikan semula.

Sijil-sijil pelantikan tersebut disampaikan oleh Lee, sambil disaksikan oleh Residen Miri Antonio Kahti Galis serta timbalan beliau Imang Oyo Emang dan ketua-ketua masyarakat setempat.