Mayat lelaki terlentang dikenal pasti

0

CARI PETUNJUK: Pasukan polis diketuai oleh Herman (kanan) dan Sarjan Ibrahim serta dua angota polis melakukan pemeriksaan di dalam bilik penginapan mangsa.

Mangsa mungkin terjatuh dari bilik hotel, tapi kecederaan masih meragukan

Oleh Michael Ubam //

SIBU: Mayat lelaki tanpa iden­titi yang ditemui mati dalam keadaan di lorong sebuah ban­gunan di Jalan Lanang 2 di sini awal pagi kelmarin telah dikenal pasti oleh ahli keluarganya.

Mangsa dikenal pasti sebagai Yii Ching Kiang, 40, dan be­rasal dari Sungai Merah sini telah menginap di sebuah hotel ber­dekatan dengan lokasi kejadian sejak pagi Selasa lepas.

Ahli keluarga mangsa yang men­cari mangsa bertindak membuat laporan polis lebih kurang jam 7 petang kelmarin apabila mereka mendapati si mati tidak pulang ke rumah sejak siang kelmarin.

Pihak polis yang menjalankan siasatan dan pemeriksaan lanjut di bilik penginapannya telah menemui satu tudung tin gam, dua telefon bimbit, sebungkus rokok, pemetik api, beg dan selipar milik mangsa.

Polis tidak menolak kemung­kinan mangsa mungkin terjatuh dari tingkap bilik penginapannya namun kecederaan yang dialami oleh mangsa ketika ditemui di lokasi penemuan masih mer­agukan.

Ternyata tatu berbentuk har­imau dan lipan si mati padan dengan gambaran adik ipar per­empuan si mati ketika membuat laporan polis di Balai Sungai Merah petang kelmarin.

Pada jam 8 pagi semalam, adik ipar perempuan diiringi oleh pihak polis pergi ke bilik mayat Hospital Sibu dan mengesahkan mayat berkenaan adalah abang iparnya.

Pada masa sama, pihak hotel turut menghubungi polis dan memberitahu bahawa seorang penghuni hotel hilang dan gagal dihubungi sejak tengah hari kelmarin.

Pihak pengurusan hotel kemu­dian mendedahkan nama peng­huni berkenaan dan mendapati nama tersebut adalah orang yang hilang dicari keluarga si mati.

Ketua Polis Balai, ASP Herman Rakey bersama Sarjan Ibrahim serta dua orang anggota beru­niform bertindak pergi ke hotel berkenaan untuk menjalankan siasatan lanjut pada jam 11 pagi kelmarin.

Menurut pihak pengurusan, si mati telah mendaftar masuk ke hotel berkenaan pada Selasa lalu.

Difahamkan, si mati berhas­rat untuk menginap semalam sahaja namun apabila dia gagal dihubungi untuk pengesahan menginap lebih lama.

Apabila kakitangan hotel me­meriksa bilik si mati, mereka turut mendapati kedua-dua tingkap berada dalam keadaan tertutup.

Mereka dikatakan tidak men­gusik apa-apa di dalam bilik penginapan si mati dan hanya menemui kad serta kunci bilik di dalam bilik penginapan si mati.

Apabila kakitangan penyelen­garaan mendapati bilik tidak di­usik, mereka terus memberitahu pihak pengurusan yang kemudi­annya maklumkan polis.

Bilik tersebut terletak di tingkat dua dan dari sudut penglihatan (ke bawah) dari tingkap, bilik berkenaan berada dalam posisi lurus di mana mangsa dijumpai mati terlentang.

Sehubungan itu, pihak polis sudah menetapkan tarikh bedah siasat mayat mangsa pada Isnin depan.