Rodgers yakin Liverpool mampu singkirkan Chelsea

0

LONDON, England: Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers menegaskan beliau tidak sabar dengan prospek bertemu pasukan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Chelsea pada perlawanan separuh akhir Piala Liga Inggeris.

Liverpool mara ke separuh akhir selepas menewaskan kelab pendahulu Liga Championship (divisyen dua) Bournemouth Rabu lepas dan diundi menentang Chelsea di separuh akhir, beberapa minit selepas perlawanan berakhir di Dean Court.

Menentang Chelsea akan mengembalikan kenangan pahit buat Rodgers selepas Liverpool mensia-siakan peluang memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim lepas apabila tewas 0-2 di tempat sendiri kepada Chelsea.

Chelsea juga menewaskan Liverpool 2-1 di Anfield dalam aksi liga musim ini tetapi Rodgers, yang berada dalam keadaan tertekan selepas prestasi hambar pasukannya musim ini, berasa yakin pasukannya boleh menebus kekecewaan sebelum ini untuk melangkah ke final.

“Ia pastinya satu perlawanan yang hebat,” kata Rodgers ketika memberitahu Sky Sports.

“Jika anda mahu memenangi pertandingan ini, anda harus menentang pasukan yang kuat.

“Kami melangkah ke separuh akhir, ia adalah perlawanan timbal-balik dan kami tidak kisah siapa lawan kami. Kami perlu meneruskan kemaraan (ke separuh akhir) dan lawan kami (selepas undian) adalah Chelsea. Kami tidak sabar untuk beraksi.”

Pengurus Chelsea, Jose Mourinho, memenangi trofi pertamanya di England dengan kejuaraan Piala Liga Inggeris pada penggal pertama bersama Chelsea dan lawan yang ditewaskan di final 2005 ialah Liverpool, dengan Chelsea akan beraksi di tempat sendiri pada perlawanan kedua.

Pada satu lagi perlawanan separuh akhir, Sheffield United, kelab divisyen tiga, akan menentang Tottenham Hotspur.

Sheffield United mengejutkan kelab Liga  Perdana, Southampton 1-0 di Bramall Lane pada perlawanan hari Selasa dan akan bertandang ke White Hart Lane untuk perlawanan pertama separuh akhir.

Spurs menempah tiket ke separuh akhir dengan membelasah Newcastle United 4-0 pada perlawanan hari Rabu. — AFP