Sterling kurangkan tekanan Rodgers

0

Liverpool mara ke separuh akhir Piala Liga Inggeris selepas singkirkan Bournemouth 3-1

LONDON, England: Raheem Sterling mengurangkan tekanan ke atas pengurusnya, Brendan Rodgers ketika Liverpool melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Liga Inggeris dengan kemenangan 3-1 ke atas kelab pendahulu Liga Championship, Bournemouth Rabu lepas.

Rodgers berdepan dengan banyak kritikan sejak beberapa minggu setelah Liverpool semakin menuruni anak tangga liga dan tersingkir pada pusingan pertama Liga Juara-Juara.

Kekalahan 0-3 kepada musuh tradisi, Manchester United dalam aksi Liga Perdana hujung minggu lepas menyebabkan Rodgers mengakui pasukannya kurang persefahaman yang hampir membolehkan mereka muncul juara liga musim lepas.

Dan kerana itu, satu kekalahan kepada Bournemouth pastinya sesuatu yang lebih dari memalukan dan menyukarkan Rodgers untuk mengekalkan kedudukannya sebagai pengurus tetapi beliau kini boleh berasa lebih yakin untuk mengharungi sekurang-kurangnya baki tahun ini apabila dua gol Sterling dan satu gol Lazar Markovic menyaksikan Liverpool menguasai perlawanan suku akhir itu Rabu lepas.

“Saya fikir ia adalah satu aksi yang hebat. Ia sentiasa satu tugas yang sukar tetapi kami mengawal permainan. Kami selayaknya menang,” kata Rodgers, di mana pasukannya akan bertemu dengan Chelsea pada perlawanan timbal balik separuh akhir.

“Raheem Sterling mendapat banyak kritikan sebelum ini, sesuatu yang saya fikir mengejutkan. Beliau baharu berusia 20 tahun dan beliau sudah beraksi dengan hebat untuk kami.

“Ia tidak kisah siapa lawan kami (di separuh akhir), ia adalah tentang meneruskan kemaraan dan memenangi kejohanan ini menentang pasukan yang besar.”

Walaupun bergelut musim ini, Liverpool pernah menang di Stadium Dean Court dalam aksi Piala FA musim lepas dan selepas pemain tuan rumah, Callum Wilson mensia-siakan satu peluang terbaik menjaringkan gol, Liverpool membuka jaringan apabila Sterling menanduk satu umpanan Jordan Henderson pada minit ke-20.

Kelegaan Rodgers jelas tergambar apabila beliau meraikan gol Sterling dengan bergaya di tepi padang. Ia juga gol pertama Sterling sejak bulan September.

Gol itu menambah keyakinan Liverpool, yang terus mengucar-kacirkan pertahanan Bournemouth dengan Rodgers sekali lagi meraikan gol kedua Liverpool apabila Philippe Coutinho melepasi perangkap ofsaid untuk menewaskan penjaga gol Artur Boruc.

Dengan penyokong Liverpool semakin bersorak kuat menyokong Rodgers, Sterling melengkapkan jaringan pada minit ke-51 sebelum Dan Gosling merapatkan kedudukan buat Bournemouth pada minit k-57.

Pada perlawanan suku akhir yang lain, Tottenham Hotspur membelasah Newcastle United 4-0 di White Hart Lane untuk menambah badi pasukan pelawat di kota London.

Lima hari yang lalu, Newcastle tewas 1-4 di Arsenal dan bayangan kekalahan sudah kelihatan di wajah pemain Newcastle apabila Spurs membuka jaringan pada minit ke-18.

Jak Alnwick, yang membuat penampilan ketiga untuk Newcastle di pintu gol, gagal menangkap kemas satu tendangan sudut, membolehkan Nabil Bentaleb menolak bola muntah ke pintu gol, yang juga gol pertama pemain itu bersama Spurs.

Newcastle bolos gol kedua beberapa saat sebelum rehat menerusi rembatan cantik Nacer Chadli sebelum Harry Kane menjaringkan gol ketiga pada minit ke-65.

Roberto Soldado melengkapkan jaringan lima minit kemudian.

Dengan kemenangan itu, Spurs akan bertemu dengan kelab divisyen tiga, Sheffield United, yang mengejutkan kelab Liga Perdana, Southampton 1-0 pada perlawanan hari Selasa.

“Kami menghormati Sheffield United. Mereka selayaknya ke separuh akhir dan kami menjangkakan satu perlawanan sukar,” kata pengurus Spurs, Mauricio Pochettino. — AFP