Tidak berhati perut

1

KUCING MALANG: Dua anggota polis berada di lokasi kejadian untuk menurunkan kucing yang tergantung di depan rumah berkenaan.

   Ahli perniagaan diancam lagi, kucing mati digantung depan rumah.

Oleh Michael Ubam dan Jessica Jawing //

SIBU: Seorang ahli perniagaan lelaki yang terselamat dalam satu insiden serangan pada Oktober lalu menerima satu lagi kejutan berbau amaran apabila seekor kucing digantung di depan rumahnya di Jalan Lada di sini, semalam.

Gambar-gambar kucing yang mati diikat pada lehernya dan digantung di palang besi di depan rumah tersebut menjadi viral dalam media sosial Facebook, sekali gus ramai pencinta haiwan mendesak hukuman setimpal dikenakan terhadap pelaku.

Polis turut pergi ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan oleh orang awam.

Pemilik rumah, 39, berkata dia pernah menerima ancaman melalui telefon daripada seorang lelaki yang memberi amaran kepadanya seminggu selepas insiden serangan itu.

Dia juga menerima panggilan ugutan daripada orang sama tiga minggu kemudian.

Bimbang dengan keselamatan dirinya, ahli perniagaan itu membuat keputusan keluar dari bandar ini buat sementara waktu untuk mencari perlindungan.

Dia bagaimanapun pulang ke Sibu kelmarin, namun menggunakan kereta sewa kerana khuatir keretanya dikenali pengugut.

Oktober lepas, sekumpulan lelaki telah mengikat tangan dan menutup matanya dengan kain sebelum membawanya lari menaiki sebuah kereta.

Dia kemudian dihumban ke dalam sungai, namun berjaya melepaskan diri.

Sementara itu, Persatuan Pencegah Penganiayaan Terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA) semalam melahirkan rasa kesal terhadap tindakan individu menggantung kucing untuk membuat ugutan.

Presidennya Donna Wee berkata, ia perbuatan yang tidak berperikemanusiaan dan berharap pihak polis akan mengambil tindakan kepada individu yang tidak bertanggungjawab itu.

“Ini adalah keganasan jelas terhadap haiwan dan perbuatan itu adalah amat jahat dan menunjukkan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan.

“Memandangkan ia masih di bawah siasatan polis, kami berharap mereka dapat menangkap individu yang bertanggungjawab serta membawanya ke muka pengadilan,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di Kuching, semalam.

Donna menegaskan, siapa sahaja individu itu nanti, dia harus diambil tindakan tegas bukan sahaja atas tindakan mengugut tetapi juga mendatangkan keganasan kepada haiwan.