Tindakan lantik kontraktor bermodal RM1 juta membina jalan dipersoal

2

KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak mempersoalkan tindakan kerajaan persekutuan melan­tik syarikat kontraktor yang hanya memiliki modal berba­yar RM1 juta untuk membina Jalan Song-Sungai Yong, Ka­pit (Fasa 3, Pakej B) bernilai lebih RM100 juta.

Pengerusinya Chong Chieng Jen berkata tindakan itu akan menyebabkan kera­jaan menanggung lebihan kos RM20 juta yang akan dibayar secara tidak langsung oleh pembayar cukai.

Menurutnya terdapat 17 kontraktor yang mengemu­kakan harga tender bawah RM100 juta dan 15 lagi di bawah RM119.8 juta untuk projek ini.

“Maknanya purata harga tender 32 kontraktor ini ialah kira-kira RM99 juta dan ini menunjukkan RM20 juta kurang daripada harga diberi­kan oleh sebuah syarikat kontraktor,” katanya sambil menambah syarikat dimak­sudkan adalah dari Sarawak dan berpejabat di Satok.

Chong berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat DAP Sarawak di sini semalam.

Ahli Parlimen Bandar Kuching itu menambah, syarikat terbabit hanya mem­punyai modal berbayar RM1 juta dan merupakan syarikat swasta yang dikecualikan dan tidak perlu mengemukakan akaun kewangannya dengan Suruhanjaya Syarikat Malay­sia (SSM) kerana ia sebuah syarikat berskala kecil.

“Dasarnya pada harga kroni RM119,830,000 untuk projek Jalan Song-Sungai Yong, Kapit (Fasa 3) pakej B, kos projek telah meningkat sebanyak 20 peratus (atau RM20 juta) berbanding jika projek itu dilaksanakan secara tender terbuka.

“Sekurang-kurangnya RM20 juta duit pembayar  cukai untuk memperkay­akan lagi kroni BN (Barisan Nasional).

“Ini suatu yang amat tidak adil kepada rakyat lebih-lebih lagi apabila Perdana Menteri bercakap mengenai pen­gurangan subsidi dinikmati rakyat dan meningkatkan (ka­dar) cukai untuk menyokong ‘peti simpanan’ kerajaan,” jelasnya.

Chong menambah, pada ketika ini negara dan rakyat berdepan tempoh paling sukar sejak krisis ekonomi dunia 1977 kerana hutang kerajaan meningkat hingga ke tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini iaitu RM569 bilion.

Selain itu katanya, nilai Ringgit Malaysia menyusut nilai kepada RM3.50 bagi AS$1 daripada RM2.68 bagi AS$1, ia dijangka terus men­galami susut nilai.

“Kerajaan telah men­gurangkan subsidi ke atas banyak barang keperluan rakyat tetapi pada masa sama memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi mengambil cukai daripada golongan miskin hanya untuk meningkatkan pulangan,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa itu.