Anak tinggal bersama mayat ibu yang mereput, berbau di atas kerusi roda.

0

PENEMUAN MENGEJUTKAN: Anggota polis mengusung mayat warga emas tersebut untuk dibawa ke rumah mayat Hospital Sibu.

SIBU: Seorang anak sanggup tinggal bersama mayat ibunya yang sudah reput dan berbau sejak enam hari lalu tanpa memaklumkan kepada ahli keluarga lain.

Penemuan mayat reput warga emas dikenali sebagai Ling Kui Eng, 95, itu terbongkar apabila jiran menghubungi Balai Polis Sungai Merah pagi semalam selepas tidak tahan menghidu bau busuk.

Sebelum itu, jiran berkenaan ada bertanya mengenai masalah bau itu kepada anak lelaki warga emas malang berkenaan, tetapi tidak diendah.

Sebaik menerima laporan, sepasukan polis tiba di rumah teres satu tingkat di Lorong Gambir 5 itu untuk menjalankan siasatan.

Apabila pihak polis bertanya mengenai bau busuk tersebut kepada seorang lelaki, 61, dia menjawab, itu ibunya dan berada di dalam bilik.

Polis kemudian memasuki bilik berkenaan dan tersentak apabila menemui mayat seorang warga emas wanita berada dalam keadaan reput duduk di atas kerusi roda.

Ditanya mengapa dia tidak memaklumkan kepada ahli keluarga lain mengenai kematian ibunya,  anak si mati dengan linangan air mata hanya menjawab dalam bahasa Inggeris, ‘I don’t know’ (Saya tidak tahu).

Setelah disoal siasat beberapa kali, polis merumuskan bahawa warga emas berkenaan meninggal dunia enam hari lalu antara malam Jumaat dan awal pagi Sabtu.