Banjir kilat: MDLBS digesa turun padang, persiapan Krismas musnah

0

SIBU: Persiapan sambutan Hari Krismas bagi penduduk di Lorong 7M, 7K dan 5G, Sibu Jaya, di sini musnah sama sekali gara-gara banjir kilat akibat hujan lebat pada malam kelmarin. Hujan lebat mulai turun sekitar jam 9.30 malam kelmarin sehingga jam 3 pagi semalam turut menjejaskan semua rumah di ketiga-tiga lorong tersebut. Salah seorang penghuni, Mary Tawal dari Lorong 7K berkata, setiap kali hujan lebat begitulah nasib mereka kerana rumah pasti dimasuki air.

“Cuma kali ini terburuk kerana membabitkan perabot rumah serta alatan elektrik termasuk motosikal rosak disebabkan air masuk ke rumah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, semalam. Jelasnya, Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLS) harus bertanggungjawab menangani masalah berkenaan ekoran sistem perparitan tidak sempurna.

“Soalnya, siapa yang mahu ganti barang-barang kami yang rosak serta segala persiapan sambutan Krismas kami? Barangan elektrik termasuk perabot serta persediaan sambutan Krimas semuanya musnah. “Tidak cukup dengan kerosakan tersebut, bekalan elektrik turut terputus.

Ini disebabkan beberapa soket terkena air banjir. Mujur tiada perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya. Mary menjelaskan, penduduk perumahan itu menggesa MDLS turun padang dan membaiki segera sistem perparitan di situ. “Masalah ini sudah lama tapi MDLBS macam enggan mengambil sebarang tindakan susulan.

Tolonglah turun padang dan lihat sendiri apa yang kami alami,” kata Mary.

Manakala, Mussie Eju dari Lorong 7K memberitahu, dia turut mengalami kerugian sebanyak RM332 disebabkan enam guni beras belum diproses rosak disebabkan air. “Enam guni beras itu mengandungi 350 kilogram, harga sekilo beras di pasaran ialah RM18. Jadi, ia kini sudah rosak dan gagal diselamatkan disebabkan air masuk dari longkang berdekatan begitu cepat. “Air setinggi dua kaki berbanding kejadian sebelum ini hanyalah sekaki. Inilah kejadian terburuk pernah kami alami,” tegasnya. Mussie berkata, dalam setahun mereka sering mengalami banjir kilat dua hingga tiga kali.

“Barang lain sempat diselamatkan tetapi persiapan Krismas ranap kerana  kami baharu sahaja mengemas rumah,” keluhnya. Patrick Kumi dari Lorong 7M mendakwa, dia mengalami kerugian apabila peti ais dan mesin basuhnya rosak disebabkan air deras melimpah masuk ke dalam rumah.

“Tidak dapat berbuat apa-apa melihat keadaan itu. Panik  dan rasa marah bercampur-baur kerana persiapan Krismas kami rosak. Begitu juga lantai jubin  tertanggal disebabkan arus air deras.   “Siapa mahu bertanggungjawab? Kami mengalami kerugian besar disebabkan hal ini,” katanya sambil  mendesak MDLBS mengambil tindakan sewajarnya berhubung kejadian tersebut. Pengiran Ngalang dari Lorong 5G pula berkata, motosikalnya turut mengalami kerosakan disebabkan masuk air.

“Pada masa kejadian, saya tidur di bahagian ruang tamu tiba-tiba dikejutkan  suara berteriak. Saya mulai bangun dan baharu sedar tertidur atas air. Tilam pun basah dan terapung. “Saya kemudian bergegas menyelamatkan harta benda lain dan lupa motosikal berada di luar rumah.

Pagi ini saya cuba menghidupkannya, ia tidak berfungsi,” jelasnya. Manakala Cilin Simpan mendakwa sebuah motosikal, dua peti ais dan segala persiapan Krismas di rumahnya musnah disebabkan banjir kilat itu. “Hari ini saya mengambil cuti kecemasan kerana mahu membersih rumah serta kawasan sekitar. Kami mengalami kerugian besar dan berganda kerana persiapan Krismas semua musnah. “Kejadian ini sering terjadi di sini. Kali ini terburuk dalam sejarah kami tinggal di sini.

Kami merayu  MDLBS mengambil tindakan sewajarnya . Cakap banyak pun tiada guna kerana masalah sistem perparitan telah lama tidak diatasi meskipun pernah disuara kepada mereka,” tambahnya. Selain ketiga-tiga lorong tersebut, kawasan Townvilla di Sibu Jaya juga turut menghadapi masalah sama yang disebabkan masalah perparitan tidak sempurna.