Hanya tiga komuniti diberi kontrak potong rumput, bersih parit DBKU

0

KUCHING: Kontrak Kerja Pemotongan Rumput dan Pembersihan Parit di bawah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan diserahkan kepada tiga Komuniti Kejiranan Mesra sahaja mulai tahun 2015.

Datuk Bandarnya Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata, komuniti berkenaan adalah Kampung Boyan Gersik dan Sourabaya, Kampung Bako dan Kampung Sungai Bedil.
“Usaha ini merupakan hasil daripada projek Key Focus Area (KFA) DBKU.

“Saya berharap usaha sebegini dapat diteruskan ke kampung lain. Pada masa yang sama, ia dapat menjana pendapatan atau ekonomi komuniti kampung setempat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian berucap pada majlis Hari Integriti dan Inovasi DBKU 2014 yang dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani di ibu pejabat DBKU di sini, semalam.

Berhubung Hari Integriti, Abang Abdul Wahap berkata ia merupakan acara tahunan yang diadakan untuk memberi pengiktirafan kepada warga kerjanya yang terbaik serta mengamalkan budaya inovasi.

“Pada tahun ini, Hari Inovasi disambut pada skala lebih besar serentak dengan Hari Integriti selaras dengan slogan ‘Integriti dan Inovasi DBKU 2014 adalah Budaya Kami’,” katanya.
Beliau berkata pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuk sesi taklimat dan ceramah integriti selain daripada pameran dan kuiz.

Pada majlis sama, dua inovasi DBKU turut dilancarkan iaitu GPS atau ‘Global Positioning System’ yang mula digunakan pada 8 Disember 2014, bagi mempercepatkan kerja mengemas kini.
Selain itu, turut dilancarkan Sistem e-Submission DBKU yang digunakan sejak Oktober 2014 dan merupakan portal bagi kemudahan permohonan secara atas talian yang disediakan kepada pembayar cukai di bawah bidang kuasa DBKU.

“Amalan budaya kerja yang cemerlang, beretika dan berintegriti tinggi perlu sentiasa diamalkan agar momentum dan legasi DBKU sentiasa menjadi terbaik.
“Diharap ia menjadi ikutan dan contoh oleh pihak berkuasa tempatan lain di Malaysia,” katanya.