Jabatan Kesihatan ambil perhatian serius terhadap rumput miang Mexico

0

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri akan mengambil perhatian serius terhadap rumput miang Mexico atau parthenium hysterophorus bagi mengelakkan ia merebak di negeri ini.

Justeru, Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil berkata pihaknya akan menyiasat berhubung perkara itu ekoran keadaan kesihatan yang timbul dari segi alahan daripada rumput berkenaan. “Kami akan menyiasat perkara ini kerana ketua pengarah telah menghubungi kami tentang keadaan kesihatan yang timbul daripada rumput ini di mana ia boleh menyebabkan alahan.

“Kami akan mengambil perhatian serius terhadap rumput ini,” katanya sambil menambah belum ada rekod bahawa terdapat rumput tersebut tumbuh di Sarawak setakat ini. Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Jiwa Murni – Majlis Penyerahan Bantuan Tangki Air 1Malaysia Fasa 1, Kawasan Siburan di Dewan Masyarakat Siburan, dekat sini kelmarin.

Baru-baru ini, Jabatan Pertanian telah membentuk sebuah jawatankuasa bertindak bagi menghapuskan rumpai miang Mexico yang kini merebak di beberapa negeri. Tindakan itu bertujuan menghapuskan rumput tersebut secepat mungkin kerana ia boleh menyebabkan alahan terutama kepada kanak-kanak dan orang tua.

Antara negeri yang dikesan ditumbuhi rumpai miang Mexico ialah Perak, Selangor, Kedah, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka.