POLIS SERIAN, JHS RAMPAS 267 BALAK

0

KEJAYAAN: Chung (tiga kiri) bersama pegawai dari IPD Serian menunjukkan gambar-gambar kejayaan Ops Seludup.

SERIAN: Ketangkasan polis Daerah Serian dan Jabatan Hutan Sarawak (JHS) berjaya merampas kira-kira 267 batang kayu pelbagai jenis serta beberapa jentera berat dan kenderaan yang bernilai RM854,700 dalam empat operasi berasingan, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah DSP Chung Aik Peng berkata, operasi yang dikenali Ops Seludup itu diadakan pada awal bulan ini di beberapa lokasi di bawah IPD Serian.

“Kesemua rampasan ini dilakukan bersama dengan Jabatan Hutan Sarawak (JHS).

“Operasi pertama pada 4 Disember di Ensengei sekitar jam 4 petang di mana kita berjaya merampas 36 batang kayu dan sebuah jentera,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Selain itu, katanya, dalam operasi pada 9 Disember sekitar 5 petang pihak polis dan JHS berjaya merampas sebuah lori dan 17 batang kayu pelbagai jenis dalam satu sekatan jalan raya di simpang Gedong.

Pada hari sama, tambahnya, kurang empat jam kemudian juga di lokasi sama pasukan penguatkuasaan berjaya merampas 154 batang kayu pelbagai jenis dan sebuah lori treler.

Manakala dalam Ops Seludup pada 11 Disember sekitar jam 3.30 petang di Balai Ringin, polis dan JHS berjaya merampas 60 batang kayu balak dan sebuah jengkaut.