Kerjasama erat pelbagai agensi penguat kuasa banteras pembalakan haram

0

KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) perlu berganding bahu dengan agensi-agensi penguat kuasa lain dalam memastikan kegiatan pembalakan haram di negeri ini mampu dibanteras.

Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Ghani berkata, usaha menbanteras aktiviti haram itu akan terus diperkasa dengan adanya kerjasama jabatan dan agensi-agensi lain sebagai satu pasukan.

Katanya, pihak jabatan lebih cekap dalam menguruskan isu tersebut agar masyarakat khasnya pemilik tanah dapat menikmati kehidupan dengan sejahtera, tanpa perlu risau tanah atau hutan mereka diambil atau diceroboh.

“Saya tidak mahu JHS bekerja secara berseorangan tetapi mantapkan usaha bersama polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar kegiatan pembalakan haram dapat dibanteras.

“Jika JHS menjalankan tanggungjawab dengan baik, masyarakat akan dapat menjalani kehidupan dengan lebih tenang kerana mengetahui tanah mereka kini tidak boleh dirampas sesuka hati,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Penutupan Kursus Pegawai Penguat Kuasa JHS Siri 2/2014 di sini, malam kelmarin.

Morshidi turut menyeru JHS agar memantau proses kerja dalam penguatkuasaan dan mengutamakan perkara penting, lebih-lebih lagi selepas menjalani proses transformasi bagi melancarkan lagi tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka.

Kursus yang dianjurkan dari 1 hingga 19 Disember bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis Kuching (PULAPOL) itu disertai 43 pegawai penguatkuasaan JHS dari Gred 11 hingga Gred 41, berumur dalam lingkungan 25 hingga 50 tahun dari seluruh negeri.

Tujuan kursus itu adalah untuk melengkapkan pegawai-pegawai penguat kuasa JHS dengan maklumat terkini agar lebih kompeten dalam menggalas tanggungjawab membanteras aktiviti pembalakan haram.

Sementara itu, Pemangku Pengarah JHS Wan Shardini Wan Salleh berkata, jabatan itu dijangka menubuhkan Unit Integriti bagi memastikan tugas dan peranan dijalankan dengan penuh amanah dan tanggungjawab.

Katanya, ia merupakan salah satu usaha dalam menyahut cabaran Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem yang mahu kegiatan haram itu dibanteras.

“JHS akan mewujudkan Unit Intergriti dengan kerjasama SPRM bagi memastikan setiap kakitangan menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan integriti.

“Sekiranya didapati melanggar nilai integriti, JHS tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas,” katanya.

Selain itu, Shardini menyampaikan penghargaan kepada Ketua Menteri yang membantu memperkasakan tugas penguatkuasaan JHS khasnya dari segi logistik, pakaian seragam dan senjata api.

Dengan itu, katanya, JHS mempunyai 19 kenderaan pacuan empat roda serta 50 laras senjata api dan pakaian seragam.

Tahun ini, JHS menerima peruntukan RM2.5 juta, berbanding RM1 juta sebelum ini bagi memperkasakan tugas penguatkuasaan.

“Walaupun mempunyai pelbagai kemudahan serta peruntukan tambahan, tetapi jika tugas tidak dijalankan dengan penuh integriti, kemudahan disediakan kerajaan ini tidak bermakna,” katanya.