Kompleks Kebajikan Laila Taib pelawa sumbangan orang ramai

0

KUCHING: Kompleks Kebajikan Laila Taib mengalu-alukan sumbangan orang ramai yang prihatin bagi menampung kos pengendalian dan penyelenggaraan rumah kebajikan anak yatim itu yang semakin meningkat saban tahun.

Penyelianya Ustaz Mohd Salleh Hamdin berkata, kadar perbelanjaan rumah kebajikan kini adalah sebanyak RM75,000 hingga RM80,000 sebulan meliputi gaji kakitangan, pengurusan, pentadbiran, makan dan minum serta membeli barang keperluan harian anak-anak.

“Sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO), kita memang mengalu-alukan bantuan daripada pelbagai pihak, lebih-lebih lagi bilangan tanggungan kita juga semakin bertambah dengan adanya kompleks baharu kita di Sibu dan Miri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan beg sekolah kepada anak-anak di kompleks itu semasa ‘Media Treasure Hunt Perodua 2014’ di sini, kelmarin.

Menurut Salleh, anak-anak memasuki kompleks itu tidak dikenakan sebarang bayaran, bahkan mereka dilengkapi dengan pakaian sekolah (dua pasang setahun) dan makan minum disediakan empat kali sehari.

Semasa waktu persekolahan pula, jelasnya, mereka disediakan dengan wang saku sebanyak RM3 seorang dan sekiranya tidak balik tengah hari, pihak kompleks akan menghantar bekal kepada mereka di sekolah.

“Bagi yang bersekolah menengah, mereka dihantar ke SMK Tunku Abdul Rahman manakala sekolah rendah di SK Gita Dua, dan mereka pergi ke sekolah menggunakan bas yang kita ada melalui sumbangan orang ramai,” jelasnya.

Tambahnya, bagi memastikan anak-anak sentiasa diberi didikan yang sebaiknya pihak kompleks juga menyediakan tuisyen pada waktu malam dengan membayar guru.

“Kita ada menerima bantuan daripada guru sukarelawan tetapi tidak berjaya kerana masa adalah tidak tetap dan konsisten. Sebab itu kita gunakan kaedah bayaran sama seperti di luar dan syukur ia konsisten,” ujarnya.

Katanya lagi, daripada segi akademik, pihaknya tidak mengambil anak-anak atas kecemerlangan akademik tetapi atas dasar kebajikan tidak kira pandai membaca ataupun tidak.

“Jadi di sini, kita tidak mengharapkan akademik mereka terlalu cemerlang tetapi kita berusaha membantu mereka dan memberi peluang kepada mereka untuk membina kehidupan yang lebih baik setelah keluar dari kompleks ini,” jelasnya.

Menyentuh mengenai pencapaian anak-anak di kompleks itu, Salleh memaklumkan sejak 21 tahun ditubuhkan mereka kini mempunyai 20 pemilik ijazah dalam pelbagai bidang dan diploma lebih ramai.

“Kita juga memiliki seorang peguam, jurutera beberapa orang, ahli geologi seorang dan paling ramai adalah guru serta pegawai kerajaan dalam pelbagai sektor,” jelasnya.

Beliau turut menjelaskan, pencapaian cemerlang turut dicapai oleh anak-anak di situ dalam aktiviti kokurikulum melalui kumpulan kebudayaan seperti kumpulan ‘angklung’ dan nasyid.

Jelasnya, semasa pertandingan nasyid dan tilawah al-Quran di Pahang pada thaun 2013, kumpulan nasyid dari rumah kebajikan itu telah menjadi johan bagi kedua-dua kategori lelaki dan perempuan.

Orang ramai yang prihatin boleh menyalurkan sumbangan kepada Kompleks Kebajikan Laila Taib menerusi talian 082-446955.