Lagi premis judi siber diserbu

0

LAWAS: Keseronokan beberapa pelanggan yang asyik bermain judi siber tidak berpanjangan apabila diserbu sepasukan polis di sebuah premis perjudian siber di sini Khamis lepas.

Dalam serbuan itu, sebanyak 10 unit komputer dipercayai mengandungi perisian judi siber dirampas selain beberapa wang tunai.

Ketua Polis Daerah Lawas DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata hasil serbuan itu pihaknya berjaya mencekup seramai 10 pelanggan kesemuanya lelaki di premis berkenaan.

“Kita akan terus memantau secara serius sebarang aktiviti seperti perjudian siber dan segala bentuk kegiatan yang menyumbang kepada jenayah yang berlaku di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata lagi operasi dari semasa ke semasa akan dijalankan secara berperingkat membabitkan semua jabatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Lawas dalam usaha meningkatkan integriti dan kepercayaan masyarakat.

Pada masa sama, beliau turut berterima kasih atas segala maklumat yang disalurkan masyarakat dan memastikan semua aduan akan disiasat dengan sewajarnya.