Naik taraf Internet di pintu masuk Sarawak-Brunei

0

RASMI: Wan Junaidi melakukan simbolik perasmian Kursus Agro Homestay dengan melakukan sumpitan sambil disaksikan tetamu lain.

Perkhidmatan akan terjejas setiap kali cuaca buruk, kemudahan baik akan tarik kedatangan pelancong

Oleh Mahathir Haroun //

KUCHING: Perkhidmatan Internet di tiga pintu masuk antara Sarawak dan Brunei perlu dinaik taraf dengan menggunakan fiber optik untuk mempercepatkan kemasukan pelancong.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini kerana setiap kali berlaku cuaca buruk, perkhidmatan Internet akan terjejas.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pelancong yang memasuki negeri ini menerusi Brunei terpaksa menunggu lama.

“Saya berharap perkhidmatan Internet dapat dinaik taraf di tiga pintu masuk Sarawak dan Brunei,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Agro Homestay anjuran Majlis Pembangunan Pertanian Kawasan Parlimen Santubong di sini, semalam.

Ahli Parlimen Santubong itu menjelaskan, kerja-kerja naik taraf perkhidmatan tersebut mungkin tidak sampai RM5 juta, namun ia perlu diberi perhatian sebagai kemudahan pelancong.

Malah, katanya, kebanyakan pelancong yang memasuki negeri ini menerusi Brunei adalah dari Korea, China dan Jepun.

“Jika kemudahan yang kita sediakan baik, sudah pasti mereka akan lebih kerap berkunjung ke negeri ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Wan Junaidi berkata, bandar raya Miri sepatutnya mempunyai hotel bertaraf lima bintang bagi menarik kehadiran pelancong berpendapatan tinggi.

“Ada pihak mengadu Miri tidak memiliki hotel lima bintang. Saya fikir ahli perniagaan boleh memikirkan untuk mewujudkan hotel lima bintang di Miri.

“Saya rasa cukup kalau hotel yang dibina mempunyai 200 hingga 300 bilik,” jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Sarawak Datu Ik Pahon Joyik berkata, setakat September tahun ini terdapat 31 homestay berdaftar di negeri ini yang melibatkan 464 peserta.

“Lebih menarik lagi, homestay ini mampu menjana pendapatan RM3.07 juta.

“Saya yakin homestay mempunyai potensi cerah untuk terus merancakkan sektor pelancongan,” kata Ik.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Abdul Rahman Junaidi dan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sarawak Paza Dan.