Pasar nelayan pintas orang tengah

0

Penduduk Kampung Semera diseru manfaatkan Pasar Nelayan baharu

Oleh Rusnan Mustafa //

SADONG JAYA: Kewujudan Pasar Nelayan baharu di Kampung Semera memberi peluang kepada ahli Pertubuhan Nelayan Kawasan (PNK) di situ memasarkan terus hasil ikan tanpa melalui orang tengah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo berkata, pasar itu turut dilengkapi dengan pasar tani di bawah seliaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang berkonsepkan campuran iaitu disediakan untuk penjualan hasil tani dan produk kering.

“Dengan adanya pasar ini pastinya membuka ruang yang lebih luas kepada masyarakat di luar bandar khususnya di kawasan ini memasarkan hasil pertanian, perikanan dan produk mereka tanpa lagi memerlukan orang tengah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pasar Nelayan baharu di Kampung Semera, Sadong Jaya di sini baru-baru ini.

Aidel menambah, kemudahan baharu itu pastinya akan merancakkan lagi kegiatan ekonomi penduduk di kawasan itu, sekali gus menambah sumber pendapatan golongan sasar.

“Jadi gunakanlah kemudahan yang disediakan ini dengan sebaik-baiknya untuk meningkatkan sumber pendapatan masing-masing,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berharap kesemua peniaga yang menjalankan aktiviti perniagaan di pasar itu menitikberatkan aspek kebersihan tempat niaga supaya tidak mendatangkan masalah pencemaran di situ kelak.

Aidel menjelaskan, kos pembinaan pasar nelayan termasuk pasar tani itu menelan perbelanjaan sebanyak RM350,000, manakala kos pembinaan infrastruktur, jalan raya dan kemudahan lain pula bernilai RM400,000.