Sebaran maklumat palsu sulitkan kerja-kerja menyelamat
PASIR MAS: Polis Kelantan akan mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat palsu berkaitan banjir di negeri ini.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata penyebaran maklumat palsu melalui aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook akan menyulitkan kerja-kerja menyelamat mangsa banjir.
“Saya ada terima laporan palsu mengenai budak tahfiz mati lemas di Rantau Panjang dan ia tidak benar. Saya nasihatkan sesiapa sahaja jangan menabur fitnah dan berita palsu.
“Kita akan mengambil tindakan tegas kepada mereka kerana berita palsu seperti ini mendatangkan kebimbangan kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi, Rantau Panjang di sini semalam.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Haliluddin Rahim.
Mazlan berkata orang ramai yang menerima maklumat melalui media sosial perlu mendapatkan pengesahan daripada pihak berwajib.
Dalam pada itu, polis meminta orang ramai di sekitar kawasan Pengkalan Kubor, Tumpat supaya berjaga-jaga tentang kemungkinan beberapa kawasan akan dinaiki air berikutan paras air Sungai Golok masih di tahap bahaya.
“Saya ingin ingatkan orang ramai untuk segera berpindah jika kawasan rumah dinaiki air,” katanya.
Beliau berkata sehingga kini tiada laporan diterima mengenai kejadian pecah masuk rumah yang ditinggalkan ketika musim banjir ini.
“Laporan rumah diceroboh masih tiada dan kita minta kalau ada laporkan kepada pihak polis dengan segera, saya juga ingin menasihati orang ramai untuk tidak meninggalkan barang berharga di rumah,” katanya.
Sementara itu, Mazlan berkata gerakan mencari seorang bayi perempuan berusia setahun lapan bulan yang dikhuatiri lemas dihanyutkan arus banjir di Kampung Sepertang, Kuala Krai, Khamis lalu masih diteruskan.
Dalam kejadian 3 pagi itu, bayi itu terlepas daripada dukungan ibunya ketika mereka mengharungi banjir untuk menuju ke pusat pemindahan. — Bernama