Sasaran bom botol

0

TERBAKAR: Kesan kebakaran di lantai tempat parkir kereta rumah mangsa selepas dilontar bom ‘molotov cocktail.’

KHIANAT: Keadaan siling tempat parkir kereta rumah mangsa.

 

Oleh Michael Ubam //

SIBU: Sebuah rumah separa berkembar di Jalan Kiew Nang di sini menjadi sasaran khianat selepas dilontar dengan bom ‘molotov cocktail’ oleh orang yang tidak dikenali sekitar jam 3.45 pagi Khamis lalu.

Pemilik rumah, 40-an, yang juga ahli perniagaan, bernasib baik apabila kebakaran ke atas bahagian letak kereta rumahnya berjaya dipadamkan dengan bantuan jiran.

Kejadian itu menyebabkan siling dan lantai tempat parkir kereta rumah itu diselaputi jelaga.

Polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang dimaklumkan mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi, namun api berjaya dipadamkan terlebih dahulu oleh mangsa dan jirannya.

Kamera litar tertutup (CCTV) milik jiran berjaya merakamkan imej seorang lelaki menaiki sebuah kereta berwarna hitam muncul di hadapan rumah mangsa.

Lelaki berkenaan kemudian keluar dengan membawa bekas seperti  botol air mineral lalu membalingnya ke arah tempat letak kereta rumah mangsa.

Difahamkan, rumah mangsa turut dipasang CCTV, namun tidak berfungsi lagi.

Mangsa dalam keterangannya kepada polis percaya rumahnya jadi sasaran yang salah kerana beberapa bulan lepas, dia menerima surat hutang sebuah bank atas nama lain yang menggunakan alamat hampir sama dengan alamat rumahnya.

Mangsa mengakui tidak mempunyai musuh atau berhutang dengan sesiapa.

Polis sedang melakukan siasatan kes tersebut yang diklasifikasikan sebagai kes khianat.