Taman Negeri Diraja Belum, Menara Condong akan dicalon sebagai Tapak Warisan Dunia

0

KUALA KANGSAR: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dalam proses memohon untuk mencalonkan Taman Negeri Diraja Belum di Gerik dan Menara Condong di Teluk Intan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO).

Namun, Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata banyak lagi perkara yang dalam peringkat kajian bagi menyediakan justifikasi dan memperkuat pencalonan kedua-dua tapak warisan itu.

“Untuk bawa (tapak warisan) ke UNESCO, ada syarat-syarat yang perlu dipenuhi…akan ambil masa sedikit tapi kita yakin akan berjaya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Nilai-Nilai Murni dan Semarak Warisan di Dataran Sungai Perak Indah di sini, semalam.

Mohamed Nazri berkata sekiranya berjaya mendapat pengiktirafan itu, Perak bakal menjadi negeri pertama di negara ini yang mempunyai dua tapak warisan dunia.

Tapak warisan lain di negara ini yang diiktiraf oleh UNESCO ialah bandar raya bersejarah Melaka dan George Town yang terletak di perairan Selat Melaka, Taman Negara Gunung Mulu di Sarawak dan Taman Kinabalu di Sabah serta Warisan Arkeologi Lembah Lenggong di Perak, katanya.

Sementara itu, beliau berkata Perak mempunyai 79 tapak khazanah warisan terbanyak berbanding negeri lain yang dilindungi di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Mohd Nazri berkata antara tapak yang diwartakan ialah Masjid Ubudiah, Maktab Melayu Kuala Kangsar dan Istana Kenangan yang terletak di Kuala Kangsar, Gereja St George di Taiping serta Kota Belanda di Pulau Pangkor.

Jabatan Warisan Negara akan melakukan kajian bersama agensi kerajaan yang lain dan pakar berkaitan warisan bagi mengenal pasti warisan baharu untuk diwartakan.

Beliau berkata khazanah warisan negara harus dipelihara kerana ia merupakan aset negara yang tidak ternilai.

“Generasi kita hari ini mewarisi khazanah yang diwariskan kepada kita oleh masyarakat terdahulu, dan sudah semestinya kita harus memastikan khazanah warisan kita juga dapat diwarisi kepada generasi akan datang,” katanya. — Bernama