UPM manfaat sepenuhnya program SSP majukan teknologi mesra alam

0

KITAKYUSHU (FUKUOKA): Universiti Putra Malaysia (UPM) akan memanfaatkan sepenuhnya program ‘Sakura Science Plan’ (SSP): Pertukaran Belia Sains Jepun-Asia untuk meningkatkan penglibatan pelajarnya dalam bidang sains dan teknologi mesra alam.

Naib Canselornya Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan berkata bagi mencapai matlamat itu UPM sangat serius untuk meningkatkan kerjasama dua hala termasuk menggandingkan kepakaran universiti dengan rakan kerjasamanya di Jepun.

“Jepun adalah sebuah negara maju yang boleh diharapkan menjadi rakan baik dan strategik untuk melaksanakan usaha sama yang memanfaatkan manusia.

“Dalam hubungan ini, UPM akan terus meningkatkan hubungan dengan Kyushu Institute of Technology (Kyutech) melaksanakan SSP,” katanya sewaktu berucap pada perasmian Simposium Kejuruteraan dan Sains Gunaan 2014 di Kyutech di sini semalam.

Presiden Kyutech, Prof Dr Morio Matsunaga merasmikan simposium kali kedua itu iaitu sebahagian program SSP.

Lebih 100 peserta UPM dari pelbagai fakulti termasuk pengurusan, akademik, teknikal dan pelajar menyertai simposium itu yang berlangsung semalam dan hari ini. Simposium pertama berlangsung di UPM di Serdang pada Oktober lepas.

SSP membabitkan UPM-Kyutech mendapat kerjasama Japan Science Technology Agency (JST) selain kerjasama erat pihak industri, akademik (sekolah, universiti dan institut penyelidikan), badan bukan kerajaan dan swasta bagi meningkatkan penglibatan belia Malaysia dan Jepun dalam bidang sains dan teknologi mesra alam.

“Bagi penyelidik-penyelidik muda, simposium seumpama ini harus dijadikan platform pendedahan diri ke peringkat antarabangsa dan melawat makmal-makmal penyelidikan universiti di Jepun bagi menimba pengetahuan.

“Saya juga berharap Jepun yang memiliki pelbagai teknologi inovatif dan maju dapat membantu Malaysia membangunkan idea dan reka cipta baharu berkaitan alam semula jadi Malaysia,” katanya.

Dr Mohd Fauzi melahirkan keyakinannya bahawa penyelidik-penyelidik Kyutech dan UPM boleh bekerjasama menjalankan penyelidikan dalam bidang-bidang berpotensi dan menghasilkan pengetahuan baharu yang menguntungkan kedua-dua negara.

UPM turut membawa 24 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Bandar 4 Bandar Baru Bangi dan SMK Bandar Baru Sungai Long yang ditaja oleh JST ke simposium itu.

Mereka diberi peluang melawat beberapa makmal penyelidikan di negara matahari terbit ini selama seminggu berada di sini. — Bernama