18 kanak-kanak sertai berkhatan beramai-ramai

0

KUCHING: Seramai 18 kanak-kanak menyertai Majlis Berkhatan Beramai-Ramai Peringkat Kampung Bintawa di Surau Darul Taqwa, Kampung Bintawa Hulu di sini, semalam.

Majlis itu merupakan salah satu daripada pengisian program dua hari anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bintawa Hulu bersama Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA) dan Jabatan Kesihatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Selain berkhatan, diadakan saringan pemeriksaan kesihatan dan demonstrasi mencegah kebakaran, manakala pada 20 Disember (Sabtu) diadakan gotong-royong perdana kawalan wabak denggi.

Hadir merasmikan majlis tersebut ialah wakil Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) iaitu Ketua Bahagian Bangunan DBKU Mohd Faizal Adenan.

Dalam ucapannya, Faizal memuji usaha pihak penganjur kerana program itu dilihat dapat memanfaatkan cuti sekolah anak-anak selain memupuk semangat kerjasama penduduk dan agensi yang terlibat.

Beliau menambah, program julung kali diadakan itu juga boleh dijadikan acara tahunan kerana ia memberi manfaat kepada masyarakat.

“Acara berkhatan beramai-ramai sekarang ini boleh dianggap budaya tradisi kerana selain menjimat masa dan tenaga, ia juga merapatkan hubungan sesama anggota masyarakat,” jelasnya.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengurus Kanan Perancangan Korporat PELITA Zainalabidin Sebli Hambali, Setiausaha JKKK Kampung Bintawa Ulu Nordin Ahmad, Ketua-Ketua Kampung dan Kaum serta tetamu jemputan.