32 pasukan jayakan futsal antara kampung, taman perumahan Dayak

0

KUCHING: Sebanyak 32 pasukan yang mewakili kam­pung dan taman perumahan masing-masing berentap pada Kejohanan Futsal Antara Kampung dan Taman yang berlangsung di gelanggang futsal Stakan, Kota Sentosa di sini semalam.

Kejohanan selama sehari itu dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Ketua Masyarakat Kaum Iban Daerah Kuch­ing dan Persatuan Alumni Dayak Universiti Malaysia (PADUM) yang mengkhu­suskan penyertaan untuk komuniti Dayak di sekitar bandar raya ini.

Presiden PADUM Kr Cooplay Nyipa Aji berkata kejohanan itu adalah julung kali dianjurkan secara bersa­ma oleh Persatuan Kebajikan Ketua Masyarakat Kaum Iban Daerah Kuching dan PADUM.

“Kesemua 32 pasukan adalah dari kawasan Dayak (kampung dan taman peru­mahan) di sekitar Kuching.

“Objektif kami melal­ui penganjuran aktiviti ini adalah untuk memanggil dan mengumpulkan para belia dari komuniti Dayak,” ujarnya ke­tika ditemui pada perasmian kejohanan berkenaan.

Menyempurnakan peras­mian kejohanan tersebut ialah Menteri Perusahaan Perla­dangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan dihadiri oleh Temeng­gung Datuk James Jimbun Pungga.

Sementara itu, pasukan yang menjuarai kejohanan akan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1,000 berserta piala dan pingat.

Manakala tempat kedua, ketiga dan keempat mas­ing-masing akan menerima wang tunai RM800, RM600, RM300 serta piala dan pin­gat.