Bantu pelajar kurang berkemampuan: Hasidah

0

Sokongan badan korporat salurkan bantuan persekolahan kepada mereka perlu lebih kerap

Oleh Rusnan Mustafa //

KUCHING: Sokongan badan korporat dalam menyalurkan bantuan persekolahan kepada pelajar daripada golongan kurang berkemampuan perlu dijalankan secara lebih kerap untuk memastikan proses pembelajaran mereka tidak berdepan masalah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, langkah itu dapat membantu meringankan beban golongan tersebut untuk membuat persiapan persekolahan anak-anak mereka.

“Kita semua sedia maklum sesi persekolahan bagi tahun 2015 tidak lama lagi akan bermula dan inilah masa yang sesuai untuk kita bersama-sama khususnya badan korporat menyalurkan bantuan persediaan terutama kepada golongan keluarga yang kurang berkemampuan seperti miskin tegar, ibu tunggal serta orang berkeperluan khas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada penyampaian sumbangan semasa Program Sayang 1Samariang di Dewan Kampung Siol Kandis di sini semalam.

Pada majlis itu seramai 152 kanak-kanak di kalangan pelajar yang berusia 12 tahun ke bawah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang menerima bantuan peralatan persekolahan.

Menurut Hasidah bantuan peralatan persekolahan itu merupakan salah satu usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) mendekati masyarakat setempat yang memerlukan.

Tambahnya, dengan adanya inisiatif seumpama itu, ia dapat menggalakkan anak-anak untuk lebih bersifat rajin dan minat untuk pergi ke sekolah.

“Justeru, saya berharap inisiatif seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa agar ia juga dapat mengeratkan hubungan sesama penduduk sekitar dengan wakil rakyat sekali gus menimbulkan rasa kasih sayang sesama kita tanpa ada wujud batas perbezaan,” katanya.

Sumbangan itu merangkumi peralatan persekolahan seperti beg sekolah, bekas air, bekas makanan, pensil warna, peralatan alat tulis dan banyak lagi.

Program  Sayang 1Samariang akan dilanjutkan sehingga 28 Disember ini meliputi zon-son Skuad Sayang seperti Taman Sourabaya Indah, Kampung Demak Baharu, Kampung Semariang, Taman Sri Wangi, Taman Sukma dan banyak lagi.