Beri perhatian, sokongan kepada artis-artis Dayak

1

SOKONG ARTIS DAYAK: Naroden (dua kiri) dan Snowdan (kanan) bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada AMD 2014 di BCCK malam kelmarin.

Ia bagi membolehkan industri muzik Dayak diperkembangkan ke persada antarabangsa: Naroden 

Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Sokongan dan perhatian yang sewajarnya perlu diberikan kepada artis Dayak di negeri ini bagi membolehkan industri muzik Dayak diperkembangkan ke persada antarabangsa.

Bagi tujuan itu, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri  (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais berkata pihak yang berkenaan perlu melihat nasib artis Dayak tempatan serta potensinya dari sudut ekonomi.

Sebagai contoh Kementerian Pelancongan Belia dan Sukan serta Kementerian Pelancongan antara pihak yang dapat membantu memartabatkan artis Dayak.

“Apa yang menjadi kebimbangan kita ialah pasaran artis tempatan kita hanya tertumpu dalam negeri kita sahaja.

“Sebab itu sokongan dan perhatian perlu diberikan kepada mereka bagi membolehkan hasil karya mereka menembusi pasaran luar seperti artis-artis lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Anugerah Muzik Dayak (AMD) 2014 yang di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam kelmarin.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Artis dan Pemuzik Dayak (DAMA) Snowdan Lawan memberitahu, pihaknya sedang memperhalusi cadangan Persatuan Artis Peribumi Sabah untuk menggabungkan artis peribumi Sabah dan Sarawak dalam satu acara anugerah pada masa akan datang.

Cadangan tersebut menurut Snowdan merupakan satu usaha memartabatkan muzik dan artis peribumi Sabah dan Sarawak agar setanding dengan artis-artis lain.

“Kita menerima satu cadangan daripada pihak persatuan artis Sabah yang mahu menggabungkan artis peribumi Sabah Kadazan Dusun, Bajau dengan artis Dayak Sarawak dalam satu acara anugerah iaitu Anugerah Muzik Borneo.

“Cadangan ini sedang diperhalusi oleh kami dan mungkin kita boleh membuatkan secara selang-seli sebagai contoh tahun ini di Sarawak seterusnya kita berkunjung ke Sabah untuk acara ini,” katanya.

Sementara itu pengerusi badan pengutip royalti bagi pelaku muzik tanah air PRISM Berhad Anuar Dahlan  yang turut hadir pada AMD 2014 yakin bakat artis Dayak boleh pergi jauh dalam industri hiburan.

Malah menurut Anuar artis-artis Dayak juga dilihat mampu menyumbang kepada ekonomi negara jika terus mendapat perhatian dan sokongan pelbagai pihak selain peminat.