Gagal bertahan 90 minit punca Malaysia kalah: Dollah

0

KUALA LUMPUR: Ke­gagalan pemain untuk ber­tahan sepanjang 90 minit perlawanan menjadi punca skuad Harimau Malaya gagal meraih kejuaraan Piala AFF Suzuki 2014 yang melabuhkan tirainya di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam kelmarin, kata Ketua Jurulatihnya Dol­lah Salleh.

Thailand kalah 2-3 kepada Malaysia pada aksi timbal ba­lik di sini namun muncul juara susulan kemenangan 2-0 pada aksi final pertama di Stadium Nasional Rajamangala, Rabu lepas untuk muncul juara den­gan keputusan agregat 4-3.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, pemain hanya mampu bertahan selama 70 minit dan kemudian hilang punca sehingga menyebabkan Thailand mengambil kesem­patan,” katanya kepada pem­berita selepas aksi final kedua, malam kelmarin.

Dollah menjelaskan, kepu­tusan mengeluarkan pemain sayap, Indra Putra Mahayud­din dan pemain pertahanan, Mohd Afif Amiruddin yang memainkan peranan besar pada perlawanan itu ekoran masa­lah kecederaan, turut menjadi punca kepada kekalahan itu.

Dalam pada itu, beliau berpuas hati dengan penca­paian yang diraih oleh skuad kebangsaan walaupun hanya diberi tempoh singkat untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi kejohanan bola sepak dwitahunan itu.

Berkongsi pandangan yang sama adalah penyerang, Mohd Amri Yahyah yang berpuas hati dengan kemenangan malam ini walaupun gagal meraih kejuaraan buat kali kedua selepas 2010 di bawah kendalian bekas jurulatih kebangsaan, Datuk K. Ra­jagobal.

Sementara itu, Ketua Ju­rulatih Thailand Kiatisuk Senamuang gembira kerana pasukan Thailand meraih kejohanan keempat bola sepak Asean selepas tiga edisi Piala Tiger sebelum ini pada tahun 1996, 2000 dan 2002.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat dan pemain (untuk keme­nangan ini). Sebelum kami datang ke sini, kami mem­bawa kelebihan dua gol tetapi setelah ketinggalan 0-3 pada separuh masa pertama, saya berasa kelainan bermain di hadapan lebih daripada 90,000 penyokong.

“Semasa rehat, saya mem­beritahu pemain saya untuk bangkit kembali dan mereka berjaya. Saya bangga dengan semua pemain kerana tidak berputus asa,” kata Kiatisuk. — Bernama