Hope Place anjur Program Beramal Tanpa Sempadan Kedua

0

KUCHING: Persatuan Kebajikan Harapan Kuching (Hope Place) telah menganjurkan Program Beramal Tanpa Sempadan Kedua  di Rumah Bawie, Lubok Antu pada 12 hingga 14 Disember lepas.

Lebih menarik program ini disertai Kelab Cabaran Pancuan 4 Roda (4X4) Bintulu melibatkan 50 unit kenderaan 4X4 dari Miri, Belaga, Batu Niah, Bintulu, Sibu, Sarikei, Saratok, Sri Aman dan Kuching.

Di samping menyediakan barang makanan asas untuk diagihkan kepada penduduk, program kali ini turut bermatlamat membaiki jambatan kayu yang sudah uzur.

“Keseluruhannya kami telah melawat empat rumah panjang iaitu Rumah Bakar, Bawie Patoh (24 pintu), Rumah Chendan, Nanga Bawie (lapan pintu), Rumah Luta, Lenggong Isu (lapan pintu) dan Rumah Dasu, Bawie Ulu (11 pintu).

“Bersama ahli-ahli sukarelawan Hope Place dan ahli-ahli Kelab Bintulu 4X4 kami membaiki jambatan disusuli dengan agihan makanan kepada penduduk yang dikunjungi,” kata Pengasas Hope Place Kelvin Wan.

Menurut Kelvin lagi, rata-rata penduduk menaruh harapan agar lebih banyak jambatan akan dibina di kawasan mereka bagi memudahkan anak-anak ke  sekolah tanpa perlu menyeberangi sungai.

Penduduk turut berharap jalan di hadapan rumah panjang mereka akan segera disimenkan selain penyambungan bekalan elektrik sama ada menerusi sistem solar atau hidro mini.

“Kerjasama antara Kelab Cabaran Pacuan 4X4 Bintulu dan Hope Place telah membawa senyuman kepada penduduk di pedalaman Lubok Antu yang kami kunjungi.

“Hope Place merupakan NGO yang mengunjungi  keluarga miskin dan kurang bernasib baik bagi mengagihkan makanan keperluan seperti beras, minyak masak, gula, garam, biskut dan sebagainya,” katanya.

Hope Place mengadakan penghantaran bantuan sekali setiap dua bulan kerana banyak keluarga dalam senarai penerima.

Setakat ini, Hope Place telah membantu lebih daripada 90 keluarga.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi talian 013-5672775 dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, Isnin hingga Jumaat.