Kelab hospital, klinik desa perlu aktif jalin kerjasama dengan NGO

0

SIMUNJAN: Setiap kelab hospital mahupun klinik desa di negeri ini perlu aktif menjalin kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya lebih banyak program bermanfaat dapat dianjurkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, menerusi kerjasama rapat itu rakyat khususnya di kawasan luar bandar mendapat bantuan sewajarnya melalui program yang dianjurkan itu.

“Saya mengharapkan mereka yang ada dalam jaringan hospital ini untuk lebih giat berinteraksi dengan NGO-NGO yang lain.

“Dengan membabitkan NGO dalam apa jua aktiviti, banyak bantuan dapat diberikan kepada penduduk seperti pemberian cermin mata percuma kepada penduduk kampung yang kita anjurkan di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Hari Keluarga anggota perubatan Hospital Simunjan yang dianjurkan oleh Kelab Perubatan Sarawak Cawangan Simunjan di sini baru-baru ini.

Antara yang hadir Setiausaha Politik Nancy Mohamed Kamaluddin Mohd Effendie, Pengarah Hospital Simunjan Caroline Ching Shiuk Yin dan Pengerusi Kelab Perubatan Sarawak Cawangan Simunjan Rossi Sapri.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata, majlis itu dapat menambah keakraban hubungan antara warga perubatan dengan penduduk setempat.

“Oleh itu, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua warga perubatan yang berkhidmat di Hospital Simunjan, Klinik Kesihatan serta Klinik Pergigian kerana jasa dan bakti yang dicurahkan kepada penduduk di sini.

“Saya tahu kebanyakan warga perubatan yang berkhidmat di sini datang seluruh pelosok tempat iaitu dari Semenanjung Malaysia, Sabah, Miri, Bintulu dan bandar-bandar yang jauh dari sini, mereka ini telah banyak berkorban demi tugas dan tanggungjawab mereka semata-mata untuk berkhidmat di Simunjan,” tambahnya.

Beliau memberitahu bahawa inisiatif itu baik kerana ia dapat menyemai semangat kesukarelaan di kalangan anggota kelab yang terdiri daripada kakitangan kerajaan.

Justeru beliau menyarankan Kelab Perubatan Sarawak Cawangan Simunjan meningkatkan lagi pembabitan dengan NGO.