Skim insentif pendaftaran galak lebih ramai OKU berdaftar JKM

0

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah memperkenalkan Skim Insentif Pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU) yang dijangka dilancarkan tahun depan bagi menggalakkan lebih ramai OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian, Asas Tani dan Pembangunan Usahawan Kedah Kama Noriah Ibrahim  berkata pendaftaran OKU sangat penting bagi mengenal pasti jumlah sebenar OKU di negeri ini untuk membolehkan kerajaan merancang program pemulihan, latihan, pendidikan, menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang sesuai mengikut keperluan mereka.

“Data sebenar warga OKU yang ada di Kedah perlu dikenal pasti bagi membolehkan kerajaan negeri menyediakan kemudahan-kemudahan yang diperlukan oleh OKU yang meliputi pelbagai aspek.

“Sehingga November tahun ini, 4,399 OKU telah mendaftar dengan JKM Kedah yang terdiri daripada OKU penglihatan (487), pendengaran (266), fizikal (1,789), masalah pembelajaran (1,201), pertuturan (26), mental (439) dan OKU pelbagai kategori seramai 191 orang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan OKU peringkat Negeri Kedah 2014 di sini semalam.

Katanya masih ramai warga OKU yang belum didaftarkan oleh keluarga masing-masing, mungkin atas dasar malu atau kurang kesedaran tentang kelebihan yang boleh diperoleh oleh OKU selepas berdaftar dengan JKM.

Beliau berkata selain itu, melalui Bajet 2015, kerajaan negeri juga telah bersetuju menaikkan kadar Elaun Pekerja Cacat (EPC) daripada RM300 kepada RM350 sebulan kepada OKU yang bekerja dengan pendapatan di bawah RM1,200 sebulan bagi membantu mengurangkan bebanan yang dihadapi mereka.

“Selain itu, kadar bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) juga turut dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 sebulan dan ini sekali gus dapat memberi manfaat kepada 12,794 penerima OKU di Kedah.

“Di sini saya mohon kepada masyarakat yang mempunyai ahli keluarga OKU jangan simpan dan sorok mereka sebaliknya terus mendaftarkan mereka dengan JKM,” kata Kama Noriah. — Bernama

Pada majlis itu, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Merbok meraih Anugerah PDK Cemerlang, manakala Pusat Jagaan Amal Yan mendapat Anugerah Sukarelawan Cemerlang dan Anugerah OKU Cemerlang disandang oleh Ismail Ibrahim dari Kampung Naka di Padang Terap. — Bernama