Aisyah, anak pasangan yang ditahan di Sweden bukti kemampuan dalam PT3

0

KUALA LUMPUR: Biarpun terpaksa menyesuaikan diri di tempat baharu dengan sistem pembelajaran yang jauh berbeza, Aisyah Azizul Raheem, 15, masih mampu memperoleh keputusan yang agak baik dalam Ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Anak sulung kepada Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal, pasangan yang pernah ditahan pihak berkuasa Sweden kerana kesalahan memukul anak mereka semasa berada di negara itu, memperoleh 5A biarpun gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Ujian Bertulis.

Ibu saudara Aisyah yang menjaganya di Kelantan, Shaleena Norshal, 43, berkata keputusan itu satu pencapaian membanggakan kerana Aisyah baharu sebelas bulan belajar di negara ini di samping mengharungi krisis keluarganya.

“Walaupun Aisyah hanya memperoleh 5A dan gagal Bahasa Melayu ujian bertulis tetapi kami sekeluarga berpuas hati dengan keputusannya. Kegagalan dalam subjek itu bukan bermakna gagal PT3.

“Ia satu keputusan cemerlang bagi kami, di saat pelbagai tekanan emosi dihadapi Aisyah akibat krisis keluarga, tambahan lagi belajar di sebuah tempat baharu yang asing dari segi sistem pembelajaran, bahasa dan budayanya,” kata Shaleena yang merupakan seorang guru, ketika dihubungi Bernama, di sini semalam.

Aisyah yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Kala, Melor, Kelantan memperoleh A bagi Bahasa Inggeris Ujian Bertulis, Bahasa Inggeris Lisan, Matematik, Sejarah dan Geografi.

Beliau memperoleh B bagi Kemahiran Hidup Bersepadu, Bahasa Melayu Lisan (C), Sains dan Pendidikan Islam (masing-masing E) dan Bahasa Melayu Ujian Bertulis (F).

Aisyah pula berkata walaupun dia gagal dalam ujian Bahasa Melayu Bertulis, namun ia tidak akan mematahkan semangatnya untuk menguasai mata pelajaran itu dan mendapat keputusan lebih baik pada masa akan datang.

Dia juga tidak menyangka akan turut mendapat A dalam mata pelajaran Sejarah dan Geografi selain Bahasa Inggeris Ujian Bertulis, Bahasa Inggeris Lisan dan Matematik.

“Secara jujur saya katakan, peperiksaan itu sangat sukar bagi saya… semuanya berbeza sekali dengan apa yang dipelajari di Sweden.

“Apa lagi sebelum ini saya hanya ambil tahu mengenai format mengenai Penilaian Menengah Rendah (PMR), tetapi tahun ini ia ditukar kepada PT3, saya bukan sahaja di tempat baharu, kawan baharu, tetapi juga peperiksaan baharu, ia memberi tekanan,” katanya.

Azizul Raheem, 38, dan Shalwati, 46, didakwa di mahkamah di Sweden, atas tuduhan memukul dan mendera keempat-empat anak mereka dalam beberapa insiden sepanjang tiga tahun sejak September 2010 sehingga Disember 2013.

Pada 28 Mac 2014, Mahkamah Daerah Solna di Stockholm mendapati Shalwati yang merupakan seorang guru bercuti tanpa gaji dan Azizul Raheem, yang merupakan Pengarah Pelancongan Malaysia di Sweden, bersalah atas tuduhan mencabuli integriti dan mengasari anak-anak mereka, Aisyah, Ammar, 12, Adam, 11 dan Arif,7.

Azizul dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan diperintah membayar pampasan SEK36,400 (RM18,367) kepada anak-anak mereka. Beliau dibebaskan pada 9 Julai 2014.

Shalwati dihukum penjara 14 bulan dan diperintah membayar pampasan SEK67,200 (RM33,909) kepada anak-anak mereka.

Shalwati dibebaskan daripada Penjara Hinseberg, Frovi di Sweden pada 29 September 2014. — Bernama