Anak peniaga pasar malam peroleh kejayaan cemerlang PT3

0

ALOR SETAR: Dalam kesibukan berniaga di pasar malam setiap hari, usaha Mohd Fakhrey Abd Hamid yang sentiasa meluangkan masa mengambil berat pelajaran anak-anak membuahkan hasil apabila anak perempuannya memperoleh 11A dalam Ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), semalam.

Qurratu’ain Mohd Fakhrey, 15, memperoleh A dalam semua mata pelajaran.

Mohd Fakhrey, 43, berkata beliau sekeluarga banyak memberi semangat kepada anaknya itu untuk menghadapi PT3 yang dikatakan susah berbanding peperiksaan sebelum ini.

Peniaga kurma itu berkata jika Qurratu’ain tertekan dengan pelajaran, beliau cuba mencari jalan penyelesaian agar anaknya itu kembali bersemangat untuk berjuang dalam pelajaran.

“Sibuk macam mana pun kita perlu berada dengan anak. Tanya khabar dia, pelajaran dia. Kalau dia ada masalah saya akan bantu dan berbincang dengan dia,” kata Mohd Fakhrey.

“PT3 amat mencabar kerana semua soalan subjektif dan memerlukan jawapan tepat untuk sesuatu soalan serta huraian yang logik. Kalau tak tahu jawapan memang tak dapat jawab,” kata Qurratu’ain kepada pemberita ketika ditemui di Maktab Mahmud Alor Setar semalam.

Anak pertama daripada lima beradik itu berkata kejayaannya itu turut dibantu guru-gurunya.

Qurratu’ain berkata bapanya sentiasa mengambil berat dalam pelajaran serta menyediakan keperluannya untuk belajar walaupun sibuk berniaga di pasar malam.

Beliau berkata kejayaan itu dihadiahkan kepada bapanya yang selama ini sanggup berkorban mencari rezeki demi membesar dan memberi pendidikan kepadanya serta empat adiknya yang lain.

Pengetua maktab berkenaan, Zaiton Ismail berkata 14 daripada 274 calon memperoleh 11A dalam peperiksaan tersebut. — Bernama