Dua beradik warga Bangladesh catat keputusan cemerlang PT3

0

BANGGA: Asma (kanan) dan Sumayya melihat keputusan PT3 satu sama lain.

KUCHING: Dua beradik warga Bangladesh yang menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) di sebuah sekolah di sini mendapati ujian tersebut lebih mencabar daripada yang dijangka.

Ditemui ketika mengambil keputusan di SMK DPHA Gapor Stampin, kedua-dua mereka mahu meneruskan pembelajaran di sekolah tersebut tahun depan dalam aliran sains.

Asma Ahmed yang mendapat 9A dan 1B berkata, PT3 lebih susah berbanding Penilaian Menengah Rendah (PMR) kerana dia menggunakan soalan PMR sebelum ini untuk belajar.

Adiknya, Sumayya yang 11 bulan lebih muda mendapat 4A, 3B, 2C dan 1D.

“Cita-cita saya menjadi doktor manakala adik saya mahu menjadi jurutera seperti ayah kami,” kata Asma.

Asma dan Sumayya lahir pada tahun sama – 1999 merupakan anak kepada Profesor Madya Dr Abu Saleh Ahmed di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan mereka tinggal di Kuching sejak lapan tahun lepas.

Mereka merupakan antara 300 pelajar yang menduduki PT3 di SMK DPHA Gapor Stampin.