Dua pelajar cemerlang kongsi rahsia kejayaan

0

KUCHING: Waktu dinihari menjadi masa belajar seorang pelajar tingkatan tiga yang kini berjaya meraih keputusan cemerlang dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang baharu diumumkan semalam.

Ahmad Farish Mohd Paisal, 15, daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Tun Ahmad Zaidi berkata, waktu itu adalah masa yang paling sesuai untuk belajar kerana minda masih segar.

“Sebulan sebelum peperiksaan bermula saya memanfaatkan waktu dinihari untuk belajar secara kumpulan bersama rakan-rakan di asrama kerana ia adalah masa yang paling sesuai untuk belajar,” katanya ketika ditemui semalam.

Farish yang mendapat 8A berkata selepas solat Isyak, dia akan tidur sebelum bangun semula pada waktu dinihari atau awal pagi sekitar jam 1 pagi untuk belajar bersama rakan-rakannya.

“Inilah cara saya untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam PT3 ini,” tambahnya.

Menurutnya lagi, seorang pelajar perlu mempunyai jadual belajar sendiri dan berkumpulan bagi membolehkan setiap masalah dalam subjek yang kurang mahir dapat dikuasai dengan mudah.

“Kalau kita tidak bertanya dan bincang bersama maka adalah sukar untuk kita mencari sesuatu jawapan kepada soalan tersebut,” jelasnya.

Farish memberitahu, meskipun PT3 baharu sahaja diperkenalkan dan dia antara calon siri pertama peperiksaan itu, berkat kesungguhan dan keazaman untuk berjaya berjaya mengatasi perasaan gementar semasa menghadapi ujian tersebut.

Sementara itu, Ahmad Hazwan Ahmad Arisa, 15, juga daripda SMK Agama Tun Ahmad Zaidi turut berkongsi rahsia kejayaan mendapat keputusan cemerlang kesemua A (11A).

“Memberi fokus dalam kelas sewaktu guru mengajar penting supaya kita tidak mempunyai masalah untuk menjawab setiap soalan.

“Selain itu, doa dan berusaha bersungguh-sungguh serta belajar dengan bijak juga penting untuk berjaya,” katanya.

Malah, katanya lagi kerap melakukan latihan dan ulang kaji pelajaran juga banyak membantunya untuk menjawab setiap soalan dalam peperiksaan itu.