Hantar ibu bapa ke rumah warga tua tanda tidak kenang jasa

0

TURUN PADANG: Harden (lima kanan) bersama ahli-ahli SUPP melawat salah seorang penduduk lumpuh di Kampung Temudok Entulang, Sri Aman semalam.

SRI AMAN: Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis berkata tindakan anak-anak menghantar ibu bapa mereka ke pusat jagaan orang tua disifatkan sebagai tindakan tidak mengenang jasa dan pengorbanan ibu bapa membesarkan mereka.

Menurutnya, sudah tiba masanya anak-anak membalas jasa ibu bapa yang menjaga mereka sewaktu kecil.

“Inilah peluang anak membalas jasa ibu bapa yang membesarkan kita selama ini sehingga berjaya pada hari ini,” katanya pada lawatan ke sebuah rumah penduduk menghidap lumpuh di Kampung Temudok, Entulang di sini semalam.

Harden berkata ramai anak-anak mengambil jalan mudah dengan menghantar ibu bapa mereka ke pusat jagaan orang tua atas alasan sibuk dengan tugas dan sebagainya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu berkata alasan itu tidak boleh diterima kerana ibu bapa tidak pernah mengabaikan tanggungjawab menjaga kita.

“Sudah menjadi tanggungjawab anak-anak menjaga ibu bupa mereka tanpa memberi sebarang alasan,” katanya.

Turut hadir Penghulu Lee Siang Hua, Kapitan Lee Ah Piang, Kapitan Kiew Siew Teck, Kaunselor Andar Suntai serta ahli-ahli SUPP Simanggang.