Jangan panik dengar bunyi siren amaran banjir: MKN

0

Ia berbunyi apabila paras air sungai lepasi tahap amaran

KUALA TERENGGANU: Orang ramai di negeri ini tidak perlu panik jika mendengar bunyi siren di kawasan berhampiran sungai yang melebihi paras amaran kerana ia sesuatu yang normal.

Pemangku Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu Roslina Ngah berkata siren itu akan berbunyi secara automatik apabila paras air sungai melepasi tahap amaran.

“Penduduk sekitar kawasan sungai sudah biasa mendengar siren ini…mungkin bagi orang luar, ia sesuatu yang janggal sedangkan ia hanya peringatan biasa kepada penduduk supaya mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Beliau mengulas kebimbangan orang ramai yang panik dengan khabar angin di laman sosial bahawa siren amaran itu berbunyi menandakan banjir di Terengganu bertambah buruk.

Roslina berkata sehingga jam 2 petang semalam, hanya dua sungai melepasi tahap amaran iaitu Sungai Chalok di Jambatan Chalok dan Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri.

Dua lagi sungai melebihi paras waspada ialah Sungai Marang di Pengkalan Berangan, Marang dan Sungai Cherul di Jambatan Ban Ho di Kemaman dengan kedua-duanya menunjukkan trend peningkatan.

Sembilan sungai yang melebihi paras bahaya ialah Sungai Besut di Kampung La dan tiga sungai di daerah Dungun iaitu Sungai Dungun di Pasir Raja, Sungai Dungun di Kuala Jengai dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau.

Ini termasuk Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih, Sungai Berang di Kampung Menerong, Sungai Nerus di Kampung Langkap, Sungai Telemong di Kampung Kuala Ping dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman.

Roslina menasihati orang ramai supaya merujuk kepada sumber sahih di portal etindakan.terengganu.gov.my untuk sebarang maklumat lanjut atau menghubungi bilik gerakan di talian 09-6316021. — Bernama