Kementerian Kesihatan kaji langkah kurangkan kesesakan pesakit di HPP

0

GEORGE TOWN: Kementerian Kesihatan akan mengkaji beberapa langkah jangka pendek sebagai inisiatif mengurangkan kesesakan dan kepadatan pesakit di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Menterinya, Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata antara langkah yang diambil termasuk penubuhan Blok Wanita dan Kanak-kanak HPP yang pembinaannya dijangka bermula pada tahun 2016.

Beliau berkata bangunan lama hospital bersalin di Jalan Residensi di sini akan dikosongkan dan segala perkhidmatan di hospital berkenaan dipindah ke beberapa tempat di HPP.

“Tujuan pengosongan itu bagi membolehkan kerajaan membina hospital ibu dan kanak-kanak di tapak berkenaan. Perancangan sudah pun bermula dan peruntukan juga sudah diluluskan. Kita menjangkakan hospital ini siap dalam tempoh tiga ke empat tahun kemudian.

“Blok Wanita dan Kanak-kanak ini akan mempunyai tambahan 329 katil dan kita harap hospital ini dapat digunakan sepenuhnya pada tahun 2020,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja di HPP, di sini semalam.

Dr Subramaniam berkata selain penubuhan blok wanita dan kanak-kanak yang menelan belanja sebanyak RM250 juta, kementerian turut meminta HPP mengkaji pemindahan rawatan pesakit luar ke kawasan lain bagi memudahkan pesakit mendapatkan rawatan dan perkhidmatan.

Katanya pada masa ini HPP menampung kira-kira 1,000 pesakit luar selain 2,000 penjaga kepada pesakit itu yang boleh menyebabkan kesesakan di HPP.

Dalam pada itu, beliau berkata penubuhan pusat khas untuk ibu mengandung berisiko rendah seperti dilaksanakan di Hospital Putrajaya turut membantu mengurangkan kesesakan pesakit.

“Saya juga mencadangkan kepada pengarah HPP untuk mengkaji penubuhan pusat ‘stand alone low risk maternity centre’ di mana ibu-ibu yang risikonya rendah, mengandung kali kedua, kumpulan ini boleh bersalin di situ,” katanya.

Dr Subramaniam, yang juga Timbalan Presiden MIC, berkata dalam usaha meningkatkan perkhidmatan dan rawatan kardiologi di HPP, pihaknya turut mencadangkan tambahan makmal kardiologi di hospital itu yang akan memberi peluang kepada pakar jantung menyelesaikan lebih banyak kes setiap hari. — Bernama

Beliau berkata bagi jangka masa panjang pula, kementerian berhasrat untuk mengintegrasikan perkhidmatan dan rawatan kesihatan hospital kerajaan di negeri ini bagi memudahkan perkongsian tenaga kerja dan sumber. — Bernama