Pembayaran IPG seminggu selepas tuntutan: Uggah

0

Hanya pekebun kecil, penoreh berdaftar LGM layak terima insentif

IPOH: Pembayaran Insentif Pengeluaran Getah (IPG) akan dilakukan dalam tempoh satu minggu selepas tuntutan dibuat oleh pekebun kecil dan penoreh getah apabila ia dilaksanakan tahun depan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata hanya pekebun kecil dan penoreh getah yang berdaftar dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) layak menerima insentif berkenaan.

“Apabila harga getah turun, mereka akan menghadapi masalah dari segi pendapatan, ini adalah satu cara kerajaan membantu pekebun kecil dan penoreh getah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat insentif berkenaan di Lembaga Getah Wilayah Utara di sini, hari ini.

Uggah berkata bagi pekebun kecil dan penoreh getah di Semenanjung dan Sarawak, mereka boleh menuntut insentif itu di mana-mana pejabat LGM dengan mengemukakan resit rasmi penjualan getah dan kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G).

“Sementara di Sabah, bayaran akan dilakukan dengan menggunakan mekanisme pendaftaran pekebun kecil yang akan diuruskan oleh Lembaga Industri Getah Sabah,” katanya.

Dalam pembentangan Bajet 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan permulaan sebanyak RM100 juta menerusi program IPG bagi membantu pekebun kecil dan penoreh getah sekiranya harga getah SMR20 jatuh kepada RM4.60 sekilogram.

Program IPG akan digerakkan apabila harga getah SMR20 mencecah RM4.60 sekilogram dan harga getah beku mangkuk berharga RM1.75 sekilogram dan ke bawah dan pelaksanaan program itu adalah melalui penyediaan insentif pada bulan semasa berdasarkan harga purata FOB SMR 20 bulan sebelumnya.

Insentif itu melibatkan 30 sen sekilogram getah beku mangkuk dengan 50 peratus kandungan getah kering (KGK), maksimum 90 sen bagi setiap paun susu getah berdasarkan peratusan KGK dan maksimum 60 sen setiap kilogram getah kepingan belum diasap berasaskan KGK.

Mengulas lanjut, Uggah berkata satu jawatankuasa pemantauan dipengerusikan beliau sendiri dan dianggotai oleh agensi-agensi yang terlibat bagi memastikan pelaksanaan IPG teratur dan mencapai objektif.

“Kita ada bilik operasi untuk membolehkan kita memantau segala pelaksanaan program ini berjalan lancar termasuk mencari jalan untuk mengelakkan penyelewengan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sehingga kini seramai 120,600 daripada 283,683 pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara, telah berdaftar untuk mendapatkan kad PAT-G. Tempoh untuk berdaftar bagi mendapatkan kad PAT-G tamat akhir tahun ini. — Bernama