Promosi sukan futsal kalangan belia

0

Oleh Edwin Raoh //

Dalam usaha menarik penglibatan lebih ramai golongan belia menyertai sukan itu

SRI AMAN: Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis meminta agar promosi sukan futsal ditingkatkan kalangan belia bagi menarik penglibatan lebih ramai golongan belia menyertai sukan itu.

Harden berkata, ini amat penting memandangkan futsal boleh mewujudkan daya kecergasan fizikal dan mental yang tinggi bagi para pemain khususnya kalangan belia.

Menurutnya, kerajaan mahu melahirkan golongan pelapis pembangunan negara yang cergas dan sihat menerusi penganjuran pelbagai aktiviti sukan dari semasa ke semasa termasuklah acara futsal.

“Dengan lebih ramai belia menyertai sukan futsal ini maka kita mampu menyekat penglibatan mereka daripada terjerumus dalam masalah sosial seperti pengambilan dadah, menghidu gam, gengsterisme dan sebagainya,” kata beliau.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan sepak mula Pertandingan Futsal Piala YB Datuk Francis Harden di Stadium Tertutup Sri Aman, di sini kelmarin.

Pada pertandingan itu, pasukan RMR FB C diumum sebagai juara setelah menewaskan Acudeos yang kebanyakkannya disertai anak-anak muda dari Rumah Jubang, Sebangki Panjai Lubok Antu dengan jaringan 1-0 pada saingan peringkat akhir.

Pertandingan itu bermula sejak 19 Disember lalu dengan sejumlah 32 buah pasukan mengambil bahagian bagi merebut kejuaraan Piala YB Datuk Francis Harden.

Selain itu, pertandingan ini juga dapat menggalakkan para belia memanfaatkan sepenuhnya setiap kemudahan sukan yang dibina kerajaan Barisan Nasional (BN) di kawasan mereka.