PT3: Bilangan pelajar dapat semua A kurang

0

GEORGE TOWN: Bilangan pelajar yang mendapat semua A dalam Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) kurang berbanding peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kerana soalan PT3 amat mencabar minda, menurut seorang pengetua.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul Noorzela Abu Bakar berkata selain cabaran dalam menjawab soalan yang bukan sahaja berbentuk lisan tetapi kebolehan kemahiran berfikir aras tinggi, masa persiapan yang singkat turut menjadi antara faktornya.

Katanya walaupun hanya sejumlah enam pelajar daripada 183 pelajar sekolahnya berjaya mencapai keputusan cemerlang semua A berbanding PMR tahun lepas, namun beliau tetapi berpuas hati dengan semangat pelajar yang tidak berputus asa walaupun masa persiapan yang diberikan singkat.

Bilangan pelajar dapat semua A kurang kerana PT3 merupakan satu format baharu dalam menilai pelajar dan 40 peratus daripada soalan adalah menguji kemahiran berfikir, kata Noorzela kepada pemberita di sini semalam.

Ujian PT3 bagi menggantikan PMR bermula 1 Julai lepas merupakan sebahagian langkah penambahbaikan yang dilakukan terhadap Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Noorzela berkata PT3 adalah satu pelaksanaan yang baik dalam melahirkan generasi muda yang berkemahiran berfikir aras tertinggi serta mendorong mereka berfikir di luar kotak.

Y.Edwin yang mendapat 9A, mengakui PT3 lebih mencabar berbanding PMR kerana bukan sahaja menjawab soalan tetapi menguji kemahiran berucap serta soalan yang lebih berbentuk subjektif. — Bernama