Tanjung Nangka ungguli badminton jemputan kelab

0

LIMBANG: Sembilan kelab dari wilayah utara Borneo termasuk Limbang, Lawas, Sipitang, Brunei Darussalam dan Wilayah Persekutuan Labuan menyertai Kejohanan Badminton Jemputan antara Kelab 2014 anjuran Persatuan Badminton Bahagian Limbang (PBBL) di Dewan Polis Limbang petang kelmarin.

Setiausaha PBBL, Arni Kassim berkata antara kelab menyertai kejohanan itu ialah Limbang Biru, Limbang Merah, Limbang Kuning, Lawas/ Sipitang, Tanjung Nangka Badminton Club 1 (Brunei Darussalam), Tanjung Nangka Badminton Club 2 (Brunei Darussalam), BRUMAS (Brunei Darussalam), KITARU (Wilayah Persekutuan Labuan) dan Temburong, Brunei Darussalam.

Tanjung Nangka Badminton Club 1 (Brunei Darussalam) muncul juara selepas menewaskan Limbang Biru yang terpaksa akur di kedudukan naib juara.

Manakala ketiga dimenangi Limbang Merah dan Tanjung Nangka Badminton Club 2 (Brunei Darussalam) di tangga keempat.

Selaku pasukan juara, Tanjung Nangka Badminton Club 1 (Brunei Darussalam) menerima wang tunai RM3,000 dan piala, naib juara menerima wang tunai RM2,000 serta piala, ketiga membawa pulang RM1,000 serta piala dan keempat menerima RM500.

Hadiah kemenangan disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota merangkap pengerusi PBBL, Dr Abdul Rahman Ismail dan dihadiri Wali Kota Majlis Daerah Limbang (MDL) Sufian Mohat dan timbalan pengerusi PBBL, Zaini Garib.

Arni berkata, selain menggalakkan cara hidup sihat dengan bersukan kejohanan itu juga mengeratkan silaturahim dan perpaduan melalui sukan kalangan masyarakat di sini dan wilayah serumpun.

Katanya, sambutan dan penyertaan amat menggalakkan dan pihaknya merancang mengadakan pertandingan itu secara tahunan dan melebarkan jemputan kelab-kelab dari seluruh Borneo dari Sabah.