Kira-kira 130,000 pekebun kecil getah daftar PAT-G, kata Ahmad

0

MELAKA: Kira-kira 130,000 pekebun kecil getah telah berdaftar dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi mendapatkan Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G), kata Pengerusinya Datuk Ahmad Hamzah.

Beliau berkata kad PAT-G akan menjadi bukti pekebun kecil layak menerima bantuan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang akan dilaksanakan kerajaan pada tahun depan.

Katanya pegawai LGM akan turun padang ke setiap daerah di seluruh negara bagi memastikan semua pekebun kecil dan penoreh getah mendaftar bagi PAT-G.

“Kita mahu memastikan semua pekebun kecil kira-kira 300,000 orang mendaftar untuk mendapatkan kad PAT-G yang dikeluarkan percuma,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan di sini, semalam.

IPG dengan peruntukan RM100 juta diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2015 bagi mengurangkan beban ekonomi pekebun kecil dengan meningkatkan pendapatan mereka berikutan turun naik harga getah.

Program IPG akan digerakkan apabila harga fizikal getah SMR20 mencecah RM4.60 sekilogram dan harga getah beku mangkuk berharga RM1.75 sekilogram dan ke bawah. Pelaksanaan program itu adalah melalui penyediaan insentif pada bulan semasa berdasarkan harga purata FOB SMR 20 bulan sebelumnya. — Bernama

Insentif itu melibatkan 30 sen sekilogram getah beku mangkuk dengan 50 peratus isi getah kering (DRC), maksimum 90 sen bagi setiap paun susu getah berdasarkan peratusan DRC dan maksimum 60 sen setiap kilogram getah kepingan belum diasap berasaskan DRC. — Bernama