Krismas disambut secara sederhana berbanding Gawai

0

KUCHING: Sama seperti kaum Dayak lain, masyarakat Kristian daripada kaum Bidayuh mengakui Hari Krismas disambut secara sederhana sahaja berbanding Gawai Dayak.

Tinjauan Utusan Borneo ke Rumah Panjang Anah Rais serta Kampung Benuk di Padawan semalam mendapati rata-rata penduduk menyatakan pengisian Hari Krismas mereka adalah dengan bersembahyang pada malam 24 dan pagi 25 Disember.

Mereka memberitahu, Gawai disambut lebih meriah dan besar-besaran kerana bagi mereka ia melibatkan acara serta budaya tradisi bagi komuniti itu.

Dalam tinjauan itu juga, penduduk turut dilihat sedang sibuk menyediakan juadah tradisi selain mengemas rumah dan menghias pokok Krismas bagi menyambut kedatangan sahabat dan keluarga pada pagi Krismas.

Rabe Sabong, 64, dari Kampung Benuk berkata, setiap Hari Krismas rumahnya pasti dimeriahkan dengan kehadiran sahabat dan sanak saudara tidak kira bangsa dari sekitar bandar raya Kuching.

“Sudah menjadi kebiasaan, sahabat serta sanak saudara berbilang kaum dan agama berkunjung ke rumah kami untuk sama-sama menyambut Hari Krismas.

“Sebagai menghormati mereka, saya telah menjemput tukang sembelih beragama Islam untuk melakukan penyembelihan bagi itik dan ayam ternakan saya untuk dimasak kepada mereka nanti,” katanya.

Jelas bapa kepada tujuh anak dan 15 cucu itu, mereka sekeluarga telah membuat persiapan sejak seminggu lalu dan hanya membeli barang mengikut keperluan sahaja.

Sementara itu, Baki Samen, 52, dari Rumah Panjang Annah Rais mengakui sambutan Hari Krismas hanya disambut secara sederhana.

Jelasnya, perayaan Hari Krismas merupakan masa untuk ahli keluarga berkumpul dan bersembahyang sebagai tanda kesyukuran.

“Jadi, tidak banyak aktiviti lain kecuali aktiviti keagamaan dan berkunjung ke rumah sanak saudara sahaja,” tambahnya.

Katanya lagi sambutan Hari Krismas juga dibuat secara sederhana kerana perlu dibahagikan untuk membeli kelengkapan persekolahan anak-anak tidak lama lagi.

Bagi Endun Likong, 38, yang juga berasal dari Rumah Panjang Annah Rais, sebagai kaum ibu semasa perayaan ini merupakan hari yang sibuk baginya menyediakan juadah untuk keluarga dan tetamu.

“Tidak banyak bezanya sambutan kami (masyarakat Bidayuh) dengan bangsa Dayak lain.

“Selain menyediakan juadah untuk keluarga, sanak-saudara dan sahabat yang datang berkunjung, aktiviti kami pada Hari Krismas adalah bersembahyang di gereja,” ujarnya.

Ketika ditemui, Endun sedang sibuk menyediakan lemang untuk dibakar.