Pusat beli-belah tetap meriah menjelang Krismas

0

Dakwaan sambutan suram di pasar raya, pusat beli-belah menjelang Krismas berbanding perayaan lain tidak benar

Oleh Hamimi Kassim //

KUCHING: Dakwaan sesetengah pihak menyatakan sambutan suram di pasar raya serta pusat beli-belah di bandar raya ini menjelang Hari Krismas berbanding perayaan lain adalah tidak benar.

Selain pelbagai strategi pemasaran dilaksanakan oleh pihak pasar raya, dekorasi indah dengan hiasan seperti di kawasan bersalji ditambah patung Santa Claus dilihat mampu menarik kehadiran pengunjung.

Bukan hanya masyarakat Kristian yang menyambut Hari Krismas, malah promosi istimewa dan kemeriahan dekorasi itu turut dimanfaatkan oleh masyarakat berbilang kaum yang lain untuk datang bersama-sama ke pasar raya dan pusat beli-belah terkemuka di bandar raya ini.

Tinjauan Utusan Borneo di CityONE, Plaza Merdeka, Kuching Sentral serta Giant Kota Padawan mendapati pusat beli-belah berkenaan meriah dengan kebanjiran pengunjung tidak kira menyambut Hari Krismas atau tidak.

Bagi Anna Santang, 19, dia melihat musim perayaan merupakan waktu paling ramai masyarakat berkunjung ke pasar raya serta pusat beli-belah.

Menurutnya, tidak kira apa jua perayaan, masyarakat tidak kira kaum dan agama memanfaatkan peluang yang ada untuk mendapatkan promosi istimewa daripada makanan hinggalah kepada pakaian dan perabot kelengkapan rumah.

“Jadi tiada isu bahawa sambutan di pasar raya semasa Hari Krismas suram berbanding perayaan lain,” katanya ketika ditemui di CityONE.

Tambahnya, aktiviti yang dianjurkan pasar raya seperti CityONE dengan pameran buku terbesar Sarawak, Popular Mega Bookfair serta pelbagai lagi jerayawara merupakan strategi yang baik untuk menarik masyarakat berkunjung ke sesebuah pasar raya.

“Suram atau tidak terpulang kepada strategi pasar raya tersebut untuk menarik pengunjung dengan kaedah pemasaran yang betul,” tambahnya.

Sementara itu, Mirus Midin, 29, memberitahu, dia sangat teruja dan gembira dengan semangat 1Malaysia yang ditunjukkan oleh masyarakat berbilang kaum di bandar raya ini.

“Tidak kira kaum dan agama, semuanya sama-sama memanfaatkan musim perayaan dan memeriahkannya termasuk di pasar raya dan pusat beli-belah.

“Ditambah musim cuti persekolahan pada masa ini, sememangnya pasar raya tidak pernah putus dikunjungi oleh masyarakat,” ujarnya.

Jelasnya lagi, sama juga seperti masyarakat Melayu atau Cina semasa Hari Raya dan Tahun Baharu Cina, mereka yang tidak menyambutnya juga pasti melakukan perkara yang sama iaitu mendapatkan promosi istimewa dan memeriahkan program yang dilaksanakan di pasar raya di sini.