Rakyat Sarawak harus pertahan kebebasan beragama, nilai saling menghormati: Aeries

0

KUCHING: Rakyat Sarawak harus mempertahankan kebebasan beragama dan nilai saling menghormati antara satu sama lain walaupun berbeza kepercayaan yang diamalkan selama ini.

Pembantu Biskop Anglikan Sarawak dan Brunei Aeries Sumping Jingan berkata kebebasan seperti itu sukar dinikmati di tempat lain menyebabkan ia harus dipertahankan.

“Kebebasan beragama dan saling menghormati, penerimaan antara satu sama lain serta budaya masing-masing di Sarawak adalah perkara yang amat berharga.

“Ia sesuatu yang mesti kita banggakan sebagai rakyat Sarawak,” katanya dalam perutusan sempena Hari Krismas 2014.

Beliau menambah: “Rakyat khususnya penganut Kristian harus berfikir sejenak dan bersyukur walaupun berlaku banyak perkara menyedihkan di sekeliling kita dan dunia amnya.”

Katanya, setiap umat perlu berdoa agar rakyat Sarawak sentiasa diberkati dengan kekayaan-Nya pada masa sama kekal harmoni serta aman.

Tambahnya lagi, Krismas bukan sekadar perayaan keagamaan tetapi lebih kepada memberi dan menyayangi antara satu sama lain.

“Apabila kita memberi dengan murah hati, sebenarnya kita cuba mengembalikannya kepada Tuhan, walaupun dalam jumlah yang sedikit, yang mana Tuhan telah bermurah hati mengurniakannya kepada kita.

“Oleh itu pada musim Krismas yang meriah ini, saya ingin ucapkan selamat Hari Krismas yang dirahmati kepada semua umat Kristian dan Selamat Tahun Baharu 2015,” kata Aeries.