1,762 PATI sudah diusir dari Sarawak

0

Oleh Hamimi Kassim //

1,552 PATI diusir dari depot tahanan di Semuja, selebihnya dari Bekenu

KUCHING: Seramai 1,762 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah diusir dari negeri ini oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak melalui Operasi Bersepadu 6P yang dilaksanakan di seluruh negeri pada tahun ini.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan jabatan tersebut, seramai 1,552 PATI diusir dari depot tahanan JIM di Semuja, Serian dan selebihnya 210 dari Bekenu, Miri.

Berdasarkan kewarganegaraan, Indonesia mencatatkan bilangan teramai iaitu seramai 1,522 orang diikuti Bangladesh (17), China (23), Thailand (40), Myanmar (17), Filipina (72), Pakistan (7), Vietnam (25), Turki (14), Oman (5), India (18), Papua New Guinea (2) dan Kazakhstan (1).

Sementara itu, daripada 232 operasi yang dilaksanakan sepanjang tahun ini juga, seramai 4,639 orang warga asing telah diperiksa dan bilangan yang ditangkap kerana melanggar pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 adalah seramai 1,210.

Kesemua yang ditangkap itu daripada pelbagai sektor seperti pembinaan melibatkan 66 operasi dengan tangkapan sebanyak 620 orang, perkhidmatan (131 operasi, 251 tangkapan), perkilangan (enam operasi, 153 tangkapan) dan perladangan (lima operasi, 74 tangkapan).

Bagi operasi lain-lain seperti Ops Pintu (rumah ke rumah) dan Ops Kutip (jalanan), sebanyak 23 operasi dilaksanakan dengan tangkapan seramai 112 orang.

“Berdasarkan kewarganegaraan pula, Indonesia mencatatkan jumlah teramai iaitu 1,047 orang, China (56), Bangladesh (31), Filipina (26), Myanmar (14) dan selebihnya adalah lain-lain (Pakistan, India, Korea, Kemboja dan Thailand).”

Operasi yang dilancarkan pada 21 Januari tahun ini itu telah melibatkan enam fasa bagi membanteras PATI di negeri ini dengan risikan telah dilaksanakan terlebih dahulu termasuk hasil maklumat daripada orang ramai.

Sementara itu, Pengarah JIM Negeri Datu Robert Lian baru-baru ini memberi amaran keras kepada  PATI untuk tampil menyerah diri dan keluar secara sukarela dari negeri ini sebelum dijatuhi hukuman oleh JIM.

Menurutnya, sambutan kurang memberangsangkan diterima iaitu hanya 168 sahaja yang tampil setakat ini di negeri ini melalui dasar pengampunan kerajaan menyebabkan JIM mengambil keputusan untuk mengeluarkan amaran keras.

“Kita memberi amaran yang mana tindakan keras tidak boleh dirunding pada tahun 2015.

“Mana-mana pendatang asing tanpa izin yang ditangkap akan didakwa di mahkamah untuk menghadapi kedua-dua hukuman penjara dan denda,” jelasnya, dasar pengampunan kerajaan berkuat kuasa pada 1 Ogos lepas dan akan berakhir pada 31 Disember ini.

“Pelaksanaan tindakan keras keseluruhan pada tahun 2015 akan menjadi pengalaman yang baik dan latihan bagi pegawai-pegawai dalam tangkapan, mendakwa, memenjarakan dan menghantar pulang pesalah,” kata Lian.